BERITA SEMASA

Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan pelawa orang ramai kongsi pendapat

KUALA LUMPUR – Kertas Putih Pertahanan (KPP) merupakan dokumen perancangan strategik bagi menentukan hala tuju pertahanan negara, melindungi kedaulatan dan keutuhan wilayah-wilayahnya.

 

‘Kertas putih’ merujuk kepada dokumen yang membentangkan perspektif pertahanan negara secara terbuka dan boleh diakses oleh semua rakyat di negara ini kerana tidak mengandungi perkongsian maklumat sulit dan rahsia.

 

KPP menggunakan konsep keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan dalam memperkasakan tunjang pertahanan bagi tempoh sepuluh tahun (2021-2030).

 

Dalam kata lain, pandangan dan maklum balas rakyat melalui dokumen ini adalah manifestasi kepada nilai demokrasi dan amalan baik tadbir urus yang memerlukan tindakan secara bersepadu yang lebih komprehensif dan berkesan.

Perkongsian Kertas Putih Pertahanan ini juga dapat memberi pendedahan awam mengenai perkembangan ATM dan agensi-agensi yang berkaitan dalam menjaga keselamatan negara.

Dokumen ini menetapkan satu kajian separuh penggal perlu dilaksanakan menjelang tahun 2025 untuk menilai pencapaian pelaksanaan KPP serta menambah baik pelaksanaannya di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

 

Kajian separuh penggal (KSP) ini akan dilaksanakan dengan mengambil kira perkembangan geopolitik yang banyak berubah dan memberi kesan kepada Malaysia dan dunia amnya.

 

Antaranya adalah penularan pandemik Covid-19, perubahan iklim dunia, peperangan Ukraine-Rusia, ketegangan di Selat Taiwan dan perjanjian antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS).

 

Perkembangan isu dan cabaran keselamatan semasa ini sudah tentu memerlukan polisi dan tindakan yang dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan negara kekal selamat, berdaulat dan makmur.

Justeru, penilaian berterusan terhadap persekitaran keselamatan yang tidak menentu ketika ini juga amat penting memandangkan realiti yang tidak dapat diramal atau dielakkan.

 

Orang ramai yang ingin memberikan pandangan atau menyalurkan maklumat mengenai (KSP KPP) melalui portal Kajian Separuh Penggal KPP di alamat kspkpp.mod.gov.my atau seperti di QR kod yang tertera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button