BERITA SEMASA

Malaysia cadang negara anggota PBB diberi akses kepada teknologi pertahanan guna AI

SEOUL – Malaysia mencadangkan supaya setiap negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diberikan akses yang saksama kepada teknologi baharu berkaitan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang pertahanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu penting bagi semua negara anggota mendapat manfaat hasil kemajuan AI.

“PBB sebagai satu-satunya organisasi sejagat perlu memastikan wujudnya perbincangan dalam soal AI di peringkatnya, terutamanya bagi mewujudkan rangka kerja yang objektif dan tidak berat sebelah.

“Semua negara anggota perlu mempunyai akses yang saksama kepada teknologi baharu bagi memastikan tidak wujudnya jurang teknologi antara negara.

“Usaha untuk pembinaan kapasiti akan memastikan semua negara anggota dapat memanfaatkan kemajuan AI dan teknologi-teknologi baharu yang lain,” katanya dalam satu hantaran dalam laman media sosialnya hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Sidang Kemuncak AI yang Bertanggungjawab dalam Bidang Ketenteraan (REAIM) 2024 di sini.

Dalam pada itu katanya, semasa REAIM Summit 2024 beliau turut mengadakan pertemuan bilateral bersama Wakil Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Hal Ehwal Perlucutan Senjata, Nakamitsu Izumi.

Katanya, Malaysia sentiasa memastikan kerjasama yang erat dengan PBB dan negara anggotanya dalam hal berkaitan teknologi, AI mahupun keselamatan.

“Meskipun persidangan kemuncak ini merupakan satu platform yang sangat baik dalam membincangkan tentang AI pertahanan, namun ia berfungsi di luar rangka kerja PBB,” katanya.

Sementara itu katanya, penyertaan Malaysia dalam persidangan itu sangat penting memandangkan REAIM memberi perhatian kepada pelbagai isu berkenaan dengan AI dalam domain pertahanan.

“Terdapat 4 sasaran utama Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam REAIM 2024 ini. Pertama, kita mahu melihat dan memahami dengan mendalam perkembangan AI dalam domain pertahanan di seluruh dunia sekali gus mengukur kedudukan semasa kita dalam perkara ini.

“Kedua, kita mahu mengenal pasti secara serius pengaplikasian semasa AI dalam domain pertahanan di peringkat global. Dapatan ini membolehkan langkah-langkah strategik yang sewajarnya disusun mengikut keperluan pertahanan negara.

“Ketiga, memandangkan badan dunia kini sedang dalam proses membangunkan piawaian atau “framework” antarabangsa bagi penggunaan AI dalam domain pertahanan yang beretika dan bertanggungjawab, Malaysia mesti mengambil peluang ini menyuarakan pandangan serta pendirian kita dalam teknologi yang bersifat “double-edged sword” ini.

“Keempat, MINDEF mahu meneroka peluang kerjasama strategik, lebih-lebih lagi dengan negara yang terkehadapan dalam AI pertahanan. Keperluan ini bukan sahaja akan memanfaatkan pertahanan negara, tetapi turut menyumbang kepada industri pertahanan tempatan,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button