Somaliland sedia tawar akses tentera, hasil bumi kepada AS
HARGEISA – Wilayah berpisah dari Somalia, Somaliland menyatakan kesediaan menawarkan akses eksklusif kepada Amerika Syarikat (AS) terhadap sumber mineral dan pangkalan tenteranya sebagai sebahagian usaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.
Menteri di Pejabat Presiden Somaliland, Khadar Hussein Abdi berkata, pihaknya terbuka untuk memberikan hak akses tersebut kepada Washington.
“Kami bersedia memberikan akses eksklusif terhadap mineral kami kepada Amerika Syarikat. Kami juga terbuka untuk menawarkan pangkalan tentera kepada Amerika Syarikat.
“Kami percaya akan mencapai sesuatu persetujuan dengan Amerika Syarikat,” katanya kepada agensi berita AFP dalam satu wawancara, Sabtu lalu.
Langkah itu dilihat sebagai strategi baharu Somaliland dalam mengukuhkan kedudukan geopolitiknya selepas sekian lama menuntut pengiktirafan sebagai negara berdaulat sejak mengisytiharkan pemisahan daripada Somalia pada 1991.
Wilayah berkenaan berpisah ketika perang saudara yang tercetus susulan pemerintahan keras Presiden Siad Barre selama lebih dua dekad yang menyaksikan kawasan utara musnah teruk akibat operasi ketenteraan.
Ketika sebahagian besar Somalia terus bergolak, Somaliland berjaya menstabilkan keadaan menjelang penghujung 1990-an dan membina pentadbiran sendiri walaupun tidak diiktiraf secara meluas.
Pada Disember lalu, Israel menjadi satu-satunya negara yang mengiktiraf kemerdekaan Somaliland, sekali gus mencetuskan ketegangan diplomatik dengan Somalia.
Kerajaan Somalia menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pencabulan terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayahnya, pendirian yang turut disokong kebanyakan pemimpin Afrika dan Arab. Somalia juga menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menarik balik pengiktirafan tersebut.
Bagaimanapun, Presiden Somaliland, Abdirahman Mohamed Abdullahi atau dikenali sebagai Cirro, menyambut baik langkah Israel dan memuji kepimpinan Netanyahu dalam mempromosikan kestabilan dan keamanan di rantau itu.
Amerika Syarikat setakat ini belum menunjukkan perubahan dasar yang jelas berhubung status Somaliland. Namun pada Ogos lalu, Presiden AS, Donald Trump memberi bayangan kemungkinan meneliti isu tersebut ketika menjawab soalan media di Rumah Putih.
Somaliland yang terletak di seberang Teluk Aden berhadapan Yemen, berada di lokasi strategik laluan perdagangan dan keselamatan serantau.
Pegawai wilayah itu mendakwa memiliki sumber asli seperti litium, coltan dan mineral bernilai tinggi lain, namun kajian bebas mengenai potensi sebenar sumber tersebut masih terhad.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








