Jurulatih selam skuba ditahan pukul, ugut pelancong asing
SEMPORNA – Seorang jurulatih selam skuba ditahan polis selepas dipercayai memukul dan mengugut seorang pelancong warga asing dalam kejadian yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Suspek berusia 38 tahun itu ditahan selepas mangsa, seorang lelaki warga Taiwan berumur 34 tahun tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini pada pukul 10.46 pagi, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Jaafar Hakim berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada insiden yang berlaku sehari sebelum itu ketika kedua-dua individu berada dalam sebuah bot menuju ke perairan Pulau Timba-Timba untuk menjalankan aktiviti selam skuba.
“Difahamkan, tangki skuba milik mangsa telah tumbang dan menghempap kaki suspek sehingga menyebabkan pertengkaran mulut berlaku antara mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambah beliau, suspek yang menerima rawatan di Hospital Tawau kemudiannya kembali ke premis syarikat pelancongan tempat mangsa menginap untuk menuntut ganti rugi.
“Namun, pertemuan tersebut bertukar tegang dan berakhir dengan suspek bertindak memukul mangsa serta mengeluarkan ugutan untuk mencederakannya,” katanya.
Jaafar berkata, susulan laporan yang diterima, suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








