BERITA SEMASADALAM NEGERI

Isu pemilikan saham: KSN sahkan Azam Baki telah dipanggil beri keterangan

PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah dipanggil memberi keterangan berhubung isu pemilikan sahamnya pada 19 Februari lalu.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan bagi meneliti perkara itu telah bersidang dan sedang menilai aspek pematuhan serta keteraturan pemilikan saham berkenaan berdasarkan laporan awal yang diterima.

“Jawatankuasa juga masih dalam proses menilai segala keterangan yang diperoleh dan akan memanggil saksi lain yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan.

“Jawatankuasa memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan serta syor untuk tindakan lanjut akan dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan termasuk jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang jenayah atau peraturan yang berkuat kuasa.

BACA JUGA:
Peguam Negara ketuai jawatankuasa khas siasat pemilikan saham Azam Baki – KSN
Ketua Pemuda UMNO mahu Azam Baki direhatkan
MCW sokong tindakan saman Azam Baki terhadap Bloomberg

Media sebelum ini melaporkan Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung isu berkenaan.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Datuk Johan Mahmood Merican.

Isu berkenaan timbul susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam dalam sidang media sebelum ini menegaskan pegangan saham bernilai RM800,000 dalam syarikat tersebut dibuat secara telus serta mematuhi prosedur yang ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button