Ismail Sabri beri kata semangat, yakin usaha kerajaan bawa pulang aktivis GSF
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan keyakinan bahawa kerajaan akan mengambil segala langkah perlu bagi memastikan 23 sukarelawan rakyat Malaysia yang ditahan rejim Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dapat dibawa pulang dengan selamat.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, usaha itu selari dengan pendirian Malaysia yang konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam menuntut kebebasan serta penubuhan negara berdaulat.
“Saya percaya kerajaan kita sejak dahulu pun memang menyokong tegar pembebasan Palestin untuk menubuhkan negara sendiri dan sekarang juga kita masih menerukan tekanan,” katanya.
Ismail Sabri yang juga Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) berkata demikian selepas merasmikan Program Larian Keluarga Malaysia 2025 dan Sukarelawan YKM serta Pemberian Bantuan Menara Gading di sini hari ini.
Dalam masa sama, Ismail Sabri berharap semua sukarelawan itu terus tabah dan kuat semangat menghadapi ujian sepanjang tempoh tahanan tersebut.
Beliau turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis yang menghalang misi kemanusiaan berkenaan daripada menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza.
“Seperti kita tahu, misi kemanusiaan ini bukan membawa senjata, tetapi cubaan untuk menghantar makanan, ubat-ubatan dan barangan asas yang sangat diperlukan penduduk Gaza.
“Misi ini juga melibatkan peserta dari seluruh negara, jadi kita harap Israel sedar negara itu kini sebenarnya bersendirian dalam tindakan yang dilakukan terhadap Palestin,” katanya.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.
Ia membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan oleh rejim Zionis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








