BERITA SEMASASUKAN

Larian Keluarga Malaysia 2025 kumpul dana bantu anak-anak yatim akibat Covid-19

KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19 bakal menerima manfaat daripada inisiatif kebajikan Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2025 anjuran Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) yang dijadualkan berlangsung pada 15 November ini di Padang Merbok, di sini.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, larian edisi kedua bertemakan ‘Berlari Sambil Menyumbang’ itu bukan sekadar acara sukan, sebaliknya menjadi wadah solidariti masyarakat untuk mengumpul dana yang digunakan bagi menyalurkan bantuan pendidikan dan kebajikan kepada anak-anak terkesan.

Ismail Sabri mendengar taklimat mengenai acara larian tersebut daripada wakil penganjur.

“Setiap sumbangan melalui yuran penyertaan digunakan untuk memastikan anak-anak ini mendapat pendidikan yang sempurna.

“YKM menyalurkan sumbangan sebanyak RM200 kepada anak-anak berusia 16 tahun ke bawah setiap bulan, manakala RM250 kepada pelajar berusia 16 tahun ke atas sehingga tamat pengajian ijazah pertama di institusi pengajian tinggi melalui Bantuan Kasih.

“Malah setiap tahun mereka turut menerima dua bantuan sekali beri (one-off) iaitu Bantuan Persekolahan/Bantuan Menara Gading dan Bantuan Perayaan, masing-masing sebanyak RM300 seorang,” katanya selepas meninjau laluan LKM 2025 di Padang Merbok, baru-baru ini.

Beliau berkata, YKM memerlukan kira-kira RM5 juta setahun bagi memastikan bantuan tersebut berterusan sehingga anak-anak ini dewasa.

Acara tahun ini menyasarkan penyertaan 3,000 peserta melalui tawaran tiga kategori utama iaitu Road Race 10km dengan bayaran RM89, early bird RM70; Fun Run 5km (RM69, early bird RM50) dan Family Run 3km (RM49, early bird RM40).

Tawaran harga early bird dibuka sehingga 31 Ogos ini. Pendaftaran boleh dibuat di laman rasmi checkpointspot.asia atau melalui saluran media sosial rasmi LKM.

Menurut Ismail Sabri, selain membantu anak-anak yatim, penganjuran acara itu turut bertujuan menyemarakkan semangat prihatin serta menggalakkan gaya hidup sihat selari dengan agenda Malaysia Sihat dan aspirasi Malaysia MADANI.

“YKM menyeru orang ramai untuk bersama-sama menyertai larian ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni membantu golongan anak yatim.

“Pihak korporat juga dialu-alukan untuk menjadi penaja LKM 2025 sekali gus memperkukuh tanggungjawab sosial korporat (CSR). Setiap sumbangan korporat layak mendapat pengecualian cukai daripada LHDN,” ujarnya.

Peserta turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah yang disediakan.

LKM 2025 diharap menjadi platform memperkukuh silaturahim, membudayakan gaya hidup sihat dan yang paling penting berlari sambil menyumbang demi masa depan anak-anak Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button