Hollywood pilih Pulau Pinang, filem Netflix The Big Fix tampilkan Mark Wahlberg
GEORGE TOWN – Pulau Pinang sekali lagi menjadi pilihan produksi antarabangsa apabila filem Hollywood terbaharu Netflix, The Big Fix, menjalani penggambaran selama dua minggu di negeri itu dengan menampilkan pelakon terkenal dunia, Mark Wahlberg.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang (PETACE), Wong Hon Wai berkata, beliau berkesempatan mengadakan pertemuan bersama pasukan produksi filem berkenaan yang diketuai penerbit The Big Fix, Bennett Walsh dan penerbit Biscuit Films, Bill Donovan.
Pertemuan yang berlangsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang itu turut disertai Pengurus Lokasi Malaysia, Guy Sahibjahn, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism (PGT), Ooi Chok Yan serta wakil Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Muhammad Muashraf.
Beliau berkata, keputusan produksi Netflix yang menampilkan bintang Hollywood seperti Mark Wahlberg memilih Pulau Pinang sebagai lokasi penggambaran menjadi satu lagi pencapaian penting dalam mengangkat sektor pelancongan dan ekonomi kreatif negeri itu.
“Mark Wahlberg dikenali menerusi filem seperti The Departed, The Fighter, Ted, Lone Survivor dan francais Transformers. Produksi bertaraf antarabangsa seperti ini membawa pendedahan global yang amat bernilai kepada Pulau Pinang menerusi salah satu platform penstriman terbesar dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hon Wai, penggambaran filem itu sejak tiga hari lalu berlangsung di beberapa lokasi ikonik sekitar Pulau Pinang termasuk Jawi Peranakan Mansion, Cheong Fatt Tze – The Blue Mansion, Lorong Ikan di George Town serta Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
“Filem yang berkisarkan dunia bola sepak itu turut menjalani penggambaran di beberapa stadium di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, selain beberapa lokasi lain di negeri itu sepanjang minggu ini,” katanya lagi.
Wong berkata, penggambaran The Big Fix mendapat sokongan menerusi program Insentif Filem Malaysia (FIMI) serta sokongan PETACE dan MBPP sebagai sebahagian usaha kerajaan negeri menjadikan Pulau Pinang destinasi pilihan produksi filem dan televisyen antarabangsa.
“Produksi antarabangsa bukan sahaja membuka peluang ekonomi kepada perniagaan tempatan, hotel, penyedia pengangkutan dan industri kreatif, malah mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan berasaskan filem,” katanya lagi.
Beliau berkata, kejayaan menarik produksi antarabangsa sebelum ini turut membuktikan keyakinan dunia terhadap ekosistem penggambaran di Pulau Pinang, termasuk filem Sandiwara yang menampilkan pelakon pemenang Anugerah Akademi, Tan Sri Michelle Yeoh.
“Kerajaan negeri menerusi PETACE, PGT dan rakan industri akan terus berusaha menarik lebih banyak produksi antarabangsa bagi menjana nilai ekonomi, membangunkan bakat kreatif tempatan serta memperkenalkan Pulau Pinang kepada dunia,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








