Risiko batu gelongsor di lokasi tanah runtuh Paya Terubong
GEORGE TOWN – Orang ramai diingatkan berhati-hati dan menjauhi kawasan tanah runtuh berhampiran Flat Taman Terubong Jaya, Paya Terubong, di sini, kerana dikenal pasti berisiko mencetuskan gelongsoran batu, menurut pihak bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Mohd Shakir Abdullah berkata, susulan penemuan itu, sawar-sawar keselamatan dan Pos Kawalan Bomba dipasang di kawasan terbabit bagi tujuan pemantauan berterusan.
“Setakat ini keadaan masih selamat dan tidak menjejaskan laluan penduduk mahupun harta benda. Pasukan penyelamat kini ditempatkan di lokasi untuk memantau pergerakan tanah dari semasa ke semasa,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada aliran air dari puncak bukit sejauh kira-kira 100 meter, yang menyebabkan struktur tanah menjadi longgar sebelum bongkah batu mula menggelongsor ke bawah.
Sementara itu, Penyelia Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Timur Laut, Muhd Danial Firdaus Zaidi, memaklumkan hasil tinjauan bersama agensi berkaitan mendapati aliran air di bahagian atas bukit tersekat akibat runtuhan lama, sekali gus menambah risiko pergerakan tanah.
Terdahulu, kejadian tanah runtuh itu dilaporkan berlaku berhampiran kawasan parkir salah satu blok perumahan di flat berkenaan.
Menurut Komander Operasi BBP Paya Terubong, Zurizan Mohd Yusof, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.41 petang, sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, terdapat 12 kenderaan dikesan berada di kawasan parkir berhampiran lokasi runtuhan,” katanya.
Setakat petang ini, tiada laporan kemalangan jiwa atau kerosakan serius dilaporkan, namun pihak berkuasa terus menjalankan pemantauan rapi bagi memastikan keselamatan penduduk sekitar terjamin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








