AGAMADALAM NEGERI

Dakwah Jalanan bawa sinar hidayah buat empat individu

Oleh AMIR SARIFUDIN MANSOR

GEORGE TOWN – Dalam hiruk-pikuk kehidupan kota, lima insan dari pelbagai latar belakang akhirnya menemui ketenangan jiwa yang dicari sejak sekian lama.

Hasrat suci mereka untuk mengenal Islam dimakbulkan melalui program Dakwah Jalanan anjuran Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT).

Kesemuanya melafazkan dua kalimah syahadah sebagai permulaan kepada kehidupan baharu yang lebih bermakna.

Mereka terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita – Ling Ooi Aing, 48; Fang Jun Ming, 64; Phang Peow Chyn, 44; Ang Sang Hup, 62 dan Low Lai Kay, 67.

Kelima-lima saudara baharu itu mengucapkan syahadah dalam majlis yang dipimpin oleh Penaung IKUT, Zolkifly Md. Lazim serta penulis yang juga bekas Pengarang Berita Utusan merangkap Setiausaha Media IKUT.

Kata mereka, keputusan memeluk Islam hadir selepas menempuh pelbagai cabaran hidup, terutama ketika usia semakin lanjut dan kesunyian mulai menyelubungi diri.

Mereka percaya Islam bukan sekadar agama, tetapi juga sebuah keluarga besar yang mengikat hati-hati manusia dengan kasih sayang dan persaudaraan.

Ling Ooi Aing (kiri) mengucap syahadah yang dipimpin oleh penulis, Amir Sarifudin di Kompleks Pasar Awam Paya Terubong, George Town, Pulau Pinang.

Nama Allah dalam ambulans

Bagi Ooi Aing, bekas pemandu ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), pengalaman melihat mangsa kemalangan mengucapkan nama Allah dalam detik-detik cemas menyentuh hatinya.

“Saya dapati kebanyakan mangsa yang parah sentiasa menyebut nama Allah.

“Ia membuatkan saya tertanya-tanya mengapa dalam saat paling getir pun, mereka masih ingat kepada Tuhan?

“Itulah detik yang membangkitkan keinginan saya untuk mengenal Islam dengan lebih mendalam,” kata beliau yang kini bekerja sebagai pemandu lori.

Ling Ooi Aing

Islam tenangkan saya selepas perceraian

Sementara itu, Jun Ming yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) mengakui, pelbagai pengalaman hidup termasuk kegagalan rumah tangga membawanya kepada penghayatan lebih mendalam terhadap erti kehidupan.

“Walaupun perkahwinan saya tidak berkekalan, saya kini lebih tenang selepas mengenali Islam. Saya yakin ini adalah jalan yang betul,” ujarnya.

Apabila sakit, kawan mula menjauh tapi Islam hadir sebagai keluarga

Seorang lagi saudara baru, Peow Chyn yang kini bergantung kepada kerusi roda, menceritakan bagaimana dia merasai kesunyian apabila kesihatan dirinya merosot.

“Dulu saya ramai kawan. Tapi bila saya sakit dan berkerusi roda, ramai yang menjauh.

“Namun saya lihat Islam itu ibarat satu keluarga – saling membantu dan mengambil berat. Saya yakin mualaf lain juga akan menyokong saya,” katanya penuh harapan.

Phang Peow Chyn (kiri) mengucap dua kalimah syahadah yang dipimpin oleh Zolkifly Md. Lazim di George Town, Pulau Pinang.

Hati tenang selepas lafaz syahadah

Bagi seorang tukang cat, Sang Hup pula berkata, azan yang sering berkumandang di sekeliling rumahnya membuka pintu hati untuk lebih mengenali Islam.

“Setiap kali dengar azan, saya rasa tenang. Kini saya faham, ia bukan sekadar laungan tapi seruan kepada kebaikan.

“Alhamdulillah, akhirnya saya diberi kekuatan untuk memeluk Islam,” luahnya dengan penuh syukur.

Program Dakwah Jalanan anjuran IKUT terus membuka ruang dan harapan kepada insan-insan yang mencari makna hidup, membuktikan bahawa hidayah itu milik Allah dan akan sampai tepat pada masanya kepada hati yang bersedia.

Bagi Lai Kay, sejak kematiannya ibunya lebih 10 tahun lalu, kehidupannya terasa amat sunyi walaupun dia mempunyai beberapa orang adik-beradik.

“Sejak ibu meninggal, saya hidup bersendirian. Rutin hidup saya kerap bertemu segelintir kawan yang memberi nasihat mengenai kehidupan.

“Kini hati saya lebih tenang setelah memeluk Islam,” katanya.

Low Lai Kay (tengah) melafazkan syahadah di George Town, Pulau Pinang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button