BERITA SEMASA

Hapuskan mentaliti kolonial terhadap Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR – Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu masih berdepan cabaran besar, walaupun sudah 60 tahun merdeka akibat pemikiran kolonial segelintir pihak yang meremehkan bahasa sendiri.

Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia (PABMM), Kamarazaman Yacob berkata, usaha memperkasakan bahasa Melayu perlu menjadi agenda kolektif memandangkan masih ada pihak dalam kepimpinan yang meremehkan kedaulatannya.

“Ini adalah satu perjuangan yang menuntut kecekalan. Isu ini sepatutnya sudah lama tuntas, namun selagi ada kelompok yang mempersendakan bahasa Melayu, perjuangan ini akan terus dipertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu, Malam Puisi Mengukir Bangsa, serta naskhah Bahasa dan Peradaban Membina Bangsa di sini, pada hari ini.

Program bertemakan ‘Peradaban Melayu Mewajah Dunia’ itu disempurnakan oleh Penaung Kehormat PABMM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober 2026 di Hotel Seri Pacific.

Simposium berkenaan merupakan anjuran bersama Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman, Kursi Pengajian Melayu dan Ketamadunan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, serta Thai Global Business Administration Technological College (TGBC).

Kamarazaman turut menegaskan bahawa pengisian program tersebut selari dengan objektif PABMM untuk memastikan bahasa Melayu terus diperkasakan, bukan sahaja di peringkat domestik malah di persada antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button