BERITA SEMASA

DBP tegur agensi kerajaan guna bahasa asing secara berlebihan

KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegur kecenderungan berterusan agensi kerajaan menggunakan bahasa asing secara berlebihan termasuk dalam penamaan program dan slogan rasmi, yang disifatkan bercanggah dengan aspirasi kerajaan serta usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Dalam kenyataannya, DBP menegaskan penggunaan bahasa asing secara meluas dalam urusan rasmi kerajaan bukan sahaja menjejaskan citra kebangsaan, malah memperlekeh usaha pemerkasaan bahasa kebangsaan yang sedang giat dilaksanakan.

“Bahasa kebangsaan mestilah digunakan sepenuhnya dalam semua urusan rasmi kerajaan, termasuklah surat-menyurat, dokumen, komunikasi, penamaan program dan majlis rasmi dalam perkhidmatan awam,” tegas kenyataan itu.

Menurut DBP, penggunaan bahasa asing atau bahasa rojak dalam konteks rasmi juga tidak selari dengan penegasan kerajaan melalui Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bertarikh 29 Oktober 2025 yang mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu sepenuhnya bagi semua urusan rasmi kerajaan termasuk program, aktiviti dan projek yang dianjurkan atau diuruskan oleh agensi kerajaan.

Kenyataan itu turut menyatakan, penegasan berkenaan seiring dengan teguran berterusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu semua agensi kerajaan mematuhi sepenuhnya peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan pekeliling perkhidmatan sedia ada.

“Kegagalan mematuhi arahan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan termasuk surat-menyurat merupakan satu tindakan yang mencabul Perlembagaan dan boleh disifatkan sebagai usaha menjatuhkan martabat Bahasa Melayu,” jelas kenyataan itu.

DBP menegaskan, Bahasa Melayu bukan sekadar wahana pentadbiran tetapi simbol kedaulatan dan identiti kebangsaan yang wajib dipertahankan serta dimartabatkan di semua peringkat perkhidmatan awam.

Sebagai organisasi bertanggungjawab memperkasa bahasa kebangsaan, DBP menegaskan pihaknya sentiasa bersedia membantu agensi kerajaan dan pelbagai pihak lain dalam meningkatkan penggunaan serta mutu Bahasa Melayu dalam urusan rasmi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button