20,000 jawatan guru baharu dibuka petang ini – KPM
KUALA LUMPUR – Permohonan bagi pengambilan 20,000 jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara lantikan kontrak (Contract of Service, CoS) di sekolah rendah akan dibuka bermula pukul 2 petang ini.
Menurut hebahan di laman rasmi Kementerian Pendidikan (KPM), permohonan dibuka sehingga 20 Mac 2026 dan sebarang maklumat lanjut boleh layari https://mypdpp.moe.gov.my/pdpp26.
“Syarat permohonan ialah graduan bukan pendidikan, warganegara Malaysia dan memiliki kepujian Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Vokasional Malaysia (SVM).
“Hanya calon yang layak akan dipanggil UKCG (ujian kelayakan calon guru) dan temu duga. Calon yang berjaya wajib mengikuti latihan perguruan di IPG (Institut Pendidikan Guru) dengan pembiayaan sendiri dalam tempoh kontrak,” katanya.
Pada Januari lalu, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, inisiatif pengambilan guru baharu itu merupakan sebahagian persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
Selain itu, ia juga sebagai persiapan bagi menghadapi kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula tahun hadapan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan murid akan memasuki alam persekolahan darjah 1 pada usia enam tahun bermula tahun depan secara sukarela.
Sebagai rekod, terdapat lebih 416,000 guru berkhidmat dalam sektor pendidikan awam dan KPM juga telah menempatkan seramai 52,948 guru baharu sejak tahun 2023 bagi mengisi kekosongan jawatan di seluruh negara.
Jumlah sekolah pula adalah sebanyak 10,233 buah dan daripada jumlah itu, sebanyak 3,164 buah dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















