Guan Eng persoal tindakan keras terhadap wartawan FMT
CYBERJAYA – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan keras pihak berkuasa ke atas wartawan portal FMT, Rex Tan.
Guan Eng yang juga Penasihat DAP berkata, Rex Tan tidak sepatutnya dikenakan penguatkuasaan yang begitu keras, “yang akan mendedahkan kerajaan kepada kritikan kerana mengamalkan dwi-standard.”
Sebagai rekod, Rex Tan telah ditahan dan direman selama sehari di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, serta turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Tindakan terpilih terhadap Rex ini berbau dwi-standard apabila pihak polis langsung gagal bertindak terhadap Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary, yang pada Oktober lalu memuat naik catatan di Facebook bertajuk ‘Belajar daripada sejarah Palestin: Jangan kita ulangi kesilapan yang sama’.
Catatan itu, dakwa Guan Eng, “secara tersirat menggambarkan Bumiputera bukan Islam sebagai Israel dan Bumiputera Islam sebagai rakyat Palestin.”
Sebaliknya, wartawan berkenaan telah menjelaskan dalam permohonan maafnya bahawa beliau tidak membandingkan keadaan semasa masyarakat Cina Malaysia dengan rakyat Palestin, ketika mengajukan soalan kepada ahli politik UK, George Galloway, pada syarahan umum bertajuk ‘Gaza Exposes the Complicity of International Actors’.
Lim seterusnya mempersoalkan mengapa Ahli Parlimen PAS itu tidak dikenakan sebarang tindakan berhubung catatan Facebooknya dan tidak menerima sebarang implikasi, sedangkan Rex Tan, walaupun telah memohon maaf, tetap ditangkap dan kehilangan pekerjaannya.
“Ahmad Marzuk tidak memohon maaf, tidak kehilangan jawatan, dan tidak ditangkap oleh polis. Ini akan menyukarkan penyokong kerajaan untuk menangkis kritikan mengenai dwi-standard dalam layanan terhadap Ahmad Marzuk dan Rex Tan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







