BERITA SEMASA

Rex Tan ditahan polis: Pekerja media tidak wajar dikena tindakan yang jejas keselamatan, maruah atau kebebasan bekerja – Geramm

KUALA LUMPUR – Gerakan Media Merdeka (Geramm) merakamkan kebimbangan berhubung penahanan bekas wartawan Free Malaysia Today, Rex Tan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan lewat malam semalam.

Menurut Geramm, lebih-lebih lagi apabila beliau dilaporkan ditahan lewat tengah malam selepas dipanggil hadir ke Balai Polis Daerah Dang Wangi.

“Geramm difahamkan bahawa Tan telah menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dalam siasatan yang berkait dengan soalan yang diajukan beliau kepada ahli politik United Kingdom, George Galloway, semasa syarahan umum bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors” pada 12 Jan di Kuala Lumpur.

“Sehubungan itu, kami percaya tiada keperluan mendesak untuk pihak berkuasa menahannya pada waktu tengah malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Geramm juga berpendirian bahawa penahanan Tan berisiko membuka ruang kepada penjenayahan terhadap wartawan pada masa hadapan, khususnya mereka yang didakwa mengemukakan soalan dianggap “sensitif”, “kontroversi” atau “jahil”.

“Kami mengambil maklum bahawa Tan telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka melalui FMT sebelum ini dan seterusnya mengemukakan peletakan jawatan.

“Syarikat portal berita itu juga telah mengambil tindakan pantas terhadap Tan susulan insiden tersebut,” katanya.

Sementara itu, Geramm menegaskan semula pendiriannya bahawa tanpa mengira perbezaan pandangan terhadap pelaporan atau cara soal jawab, pekerja media tidak wajar dikenakan tindakan yang menjejaskan keselamatan, maruah atau kebebasan mereka untuk bekerja.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button