BERITA SEMASADALAM NEGERI

FMT buat permohonan maaf terbuka isu wartawan samakan nasib orang Cina di Malaysia dengan Palestin

PETALING JAYA – Free Malaysia Today (FMT) menegaskan pihaknya tidak bersetuju dengan kenyataan dan soalan yang dilontarkan oleh salah seorang wartawannya kepada ahli politik United Kingdom, George Galloway, semasa wacana terbuka bertajuk ‘Gaza Exposes the Complicity of International Actors’ yang berlangsung pada 12 Januari lalu.

FMT dalam satu kenyataan hari ini membuat permohonan maaf di laman portal dan media sosialnya memaklumkan pihak pengurusan tidak mengetahui niat wartawan berkenaan untuk mengemukakan soalan tersebut dan menegaskan ia tidak mencerminkan pendirian organisasi media itu.

Menurut kenyataan sama, sebaik isu tersebut menjadi perbincangan hangat di media sosial semalam, FMT telah mengambil tindakan segera dengan memulakan siasatan dalaman yang membawa kepada tindakan tatatertib terhadap wartawan terbabit.

“Proses siasatan masih berjalan dan FMT tidak akan memberikan sebarang ulasan lanjut mengenai perkara ini buat masa ini,” menurut kenyataan itu.

Malaysia Tribune hari ini melaporkan dalam sesi itu, wartawan FMT menggambarkan kedudukan masyarakat Cina di negara ini sama seperti rakyat Palestin yang ditindas.

Galloway kemudian menafikan dakwaan itu dengan menyifatkannya tersasar jauh daripada pemahaman dan pemerhatiannya sepanjang berada di Malaysia bahkan melihat masyarakat Cina di negara ini memperoleh pencapaian yang begitu hebat.

FMT turut menjelaskan bahawa hasil siasatan mendapati wartawan berkenaan tidak menggunakan perkataan ‘aparteid’ seperti yang didakwa oleh pelbagai pihak di media sosial.

Bagaimanapun, FMT mengakui wujud sensitiviti dalam komen dan soalan yang diajukan oleh wartawan tersebut, yang telah menerima kecaman daripada Galloway semasa forum berkenaan.

Sebagai sebuah organisasi berita yang bertanggungjawab, FMT menegaskan pihaknya sama sekali tidak melaporkan atau menyokong kenyataan serta pertanyaan sedemikian oleh wartawannya.

FMT turut menyatakan kekesalan atas kesulitan yang tercetus kepada penceramah forum, penganjur, hadirin serta rakyat Malaysia secara amnya selain menyampaikan permohonan maaf secara terbuka atas sebarang kesulitan yang timbul.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button