
Himpunan solidariti terhadap Palestin Jumaat ini
KUALA LUMPUR – Satu himpunan bagi menunjukkan solidariti ke atas rakyat Palestin akan diadakan di Masjid Negara pada Jumaat ini.
Dijangkakan seramai 5,000 peserta akan hadir pada Himpunan Aman Solidariti Mempertahankan Bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa tersebut.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, himpunan anjuran parti itu dan Perikatan Nasional (PN) dijadual bermula selepas solat Jumaat.
“Pemuda Pas mengikut rapat pertempuran besar-besaran yang sedang berlaku ke atas saudara seagama di tanah berdaulat Palestin hari ini.
“Peperangan ini adalah satu simbolik penting kebangkitan penduduk di sana setelah sekian lama dipenjarakan di negara sendiri oleh Zionis dan diperlakukan dengan segala bentuk penindasan, rampasan tanah-tanah, hak milik serta pencerobohan Masjid Al-Aqsa iaitu tempat suci ketiga umat Islam.
“Ratusan nyawa terkorban malah ribuan juga tercedera yang kebanyakannya adalah golongan wanita, kanak-kanak serta warga tua. Tindakan kejam serta tidak berperikemanusiaan rejim Zionis ini mewajarkan kami untuk bertindak dan tidak berdiam diri di saat saudara seagama diperlakukan dengan zalim,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar bagi mengumumkan penganjuran himpunan tersebut di Pejabat Agung Pas, di sini.
Afnan Hamimi seterusnya berkata, seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia diajak untuk turun bersama-sama di Masjid Negara bagi menyatakan bantahan dan solidariti terhadap nasib rakyat Palestin.
“Kita nyatakan ketegasan mempertahankan kemuliaan tanah Palestin dan Masjid Al-Aqsa daripada terus dihina dan diceroboh sesuka hati oleh Israel.
“Marilah kita bersatu hati, tanpa mengira bangsa dan agama waima fahaman politik untuk bersolidariti bersama demi saudara seagama kita,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








