LUAR NEGARA

Gempa bumi 6.7 magnitud gegar Peru, dua cedera

LIMA – Sekurang-kurangnya dua cedera manakala sejumlah bangunan dan kemudahan awam mengalami kerosakan selepas gempa bumi bermagnitud 6.7 melanda kawasan Andes di selatan Peru, petang Khamis.

Gempa itu berlaku kira-kira pukul 1 petang waktu tempatan dengan pusat gempa dikesan 38 kilometer barat laut Upahuacho, di wilayah Ayacucho, pada kedalaman kira-kira 66 kilometer, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Institut Geofizik Peru (IGP) pada awalnya merekodkan gempa berkenaan pada magnitud 7.2 sebelum bacaan itu disemak semula.

Gegaran dirasai di beberapa kawasan termasuk Ayacucho, Ica, Arequipa, Huancavelica, Apurimac dan Cusco, malah turut dirasai di Lima.

Menurut pihak berkuasa, dua individu cedera ketika proses pemindahan penduduk di Coracora.

Selain itu, sebanyak 22 rumah, enam pusat kesihatan dan sebuah sekolah dilaporkan rosak di beberapa kawasan termasuk Puquio, Pullo, Coracora, Upahuacho dan Pichari.

Kejadian turut menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh berhampiran Coracora.

Ketua IGP, Hernando Tavera berkata, kedalaman gempa membantu mengurangkan kesan gegaran di permukaan dan mengelakkan kerosakan lebih besar.

Sementara itu, Tentera Laut Peru mengesahkan tiada ancaman tsunami susulan gempa berkenaan.

Peru terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik, iaitu antara zon seismik paling aktif di dunia dan sering dilanda gempa bumi.

Pihak berkuasa terus memantau keadaan serta menjalankan penilaian terhadap kemungkinan kerosakan tambahan selepas gempa berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button