12 maut dalam tragedi tebing sungai runtuh di Peru
BOGOTA – Seramai 12 orang maut manakala 30 lagi hilang apabila tebing Sungai Ucayali, di sini tiba-tiba runtuh menyebabkan dua bot penumpang yang berlabuh di kawasan itu terbalik, awal pagi semalam.
Menurut agensi berita Xinhua, kejadian itu berlaku pada pukul 5 pagi berhampiran Pelabuhan Iparia, sebuah lokasi terpencil di wilayah tersebut.
Hakisan tebing menyebabkan tanah dan lumpur masuk ke dalam sungai dan mencetuskan arus deras sekali gus mengganggu kestabilan bot-bot terbabit.

Pusat Operasi Kecemasan Pertahanan (COEN) Peru berkata, bot yang dikenali sebagai Rapido Oriente dilaporkan tenggelam sepenuhnya manakala bot lain, Deo Rigo rosak teruk akibat tragedi itu.
“Kedua-dua bot itu sedang berlabuh ketika runtuhan berlaku. Satu bot tidak ada penumpang manakala sebuah lagi membawa kira-kira 50 orang,” katanya.
Tambah COEN, mangsa termasuk golongan kanak-kanak, warga tua serta ramai daripada penumpang ialah penduduk dari komuniti perkampungan di kawasan Sungai Amazon yang menggunakan bot sebagai akses ke bandar atau pusat perkhidmatan.
Foto yang dikongsi di media sosial menunjukkan orang ramai berpaut pada cebisan kayu bagi mengelakkan diri daripada lemas.
Pasukan penyelamat mengesahkan tiga kanak-kanak antara mangsa yang terkorban.
Operasi pencarian dijalankan dengan bantuan pasukan polis dan Tentera Laut Peru namun arus deras serta keadaan sungai yang berbahaya menyukarkan usaha menyelamat.
Wilayah Ucayali terletak di kawasan hutan yang bersempadan dengan Loreta di utara dan Brazil di timur.
Insiden itu menyerlahkan bahaya hakisan tebing di kawasan Amazon yang sering digunakan sebagai laluan bot untuk menghubungkan komuniti-komuniti terpencil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







