BERITA SEMASA

Frasa ‘Allah bersama Gen Z’ bukan alasan halal maksiat

KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan pendakwah bebas, Muzuza mengingatkan masyarakat supaya tidak menggunakan frasa ‘Allah bersama Gen Z’ secara melampau sehingga dijadikan alasan untuk membenarkan perkara yang bercanggah dengan syariat Islam.

Menerusi hantaran di TikTok, beliau berkata, penggunaan frasa itu tidak menjadi isu sekiranya dijadikan sebagai bentuk motivasi, semangat atau tawakal kepada Allah SWT.

Namun katanya, kebimbangan timbul apabila slogan berkenaan disalahgunakan untuk menghalalkan perkara batil atau haram seperti maksiat, pembaziran dan pergaulan bebas.

“Kalau kita kata sebagai satu tawakal ataupun bentuk semangat kepada kita, tidak ada masalah.

“Cuma kita bimbang frasa ataupun slogan ini digunakan untuk membenarkan yang batil ataupun membenarkan perkara yang haram,” katanya.

Menurutnya, terdapat individu yang menggunakan slogan tersebut selepas melakukan perkara tidak sepatutnya termasuk berdua-duaan antara lelaki dan perempuan.

Beliau berkata, tindakan sedemikian dikhuatiri boleh membawa kepada unsur mempermainkan agama atau Istihza’ biddin.

“Kita takut perkara-perkara itu terjebak ataupun terlibat dengan satu perkara yang kita panggil sebagai Istihza’ biddin iaitu mempersendakan agama Allah Taala,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan frasa berkenaan masih boleh digunakan jika membawa maksud positif seperti memberi semangat kepada golongan yang sabar dan berusaha mencari rezeki.

“Kalau sekadar nak memberikan semangat sepertimana kita kata bahawa Allah bersama dengan orang-orang yang sabar, Allah bersama dengan orang-orang yang bersusah-susah mencari rezeki, maka Insya-Allah itu adalah satu benda yang baik,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak membudayakan slogan tersebut tanpa batasan sehingga menjadi bahan senda gurau yang tidak sesuai dalam agama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button