Kelantan perkukuh enakmen jenayah syariah bendung LGBT, maksiat
KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menegaskan komitmen untuk memperkukuh, menambah baik dan meminda Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 (EKJS) bagi memperkasa usaha membanteras gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta kegiatan maksiat di negeri itu.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, meskipun enakmen berkenaan pernah menghadapi cabaran perundangan, kerajaan negeri tetap bertekad meneruskan usaha menambah baik pelaksanaannya agar lebih berkesan.
“Kerajaan negeri telah menggubal dan menguatkuasakan EKJS 2019 sebagai instrumen undang-undang untuk menangani kesalahan syariah, termasuk liwat, musahaqah serta perbuatan tidak bermoral yang mencemar kesucian hidup beragama.
“Kami tidak mengiktiraf sebarang budaya songsang yang bertentangan dengan Islam. Amalan LGBT adalah kemungkaran nyata yang mencabar fitrah, merosakkan akhlak dan menggugat keharmonian sosial,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial dan Maksiat melibatkan kerjasama pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Yayasan Islam Kelantan (YIK), Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Jawatankuasa itu menyelaras pendekatan menyeluruh antara agensi bagi menangani keruntuhan moral dan tingkah laku menyimpang yang semakin terbuka dalam masyarakat,” katanya.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut melaksanakan Program Budaya Komuniti Rabbani yang bertujuan memperkukuh kefahaman Islam, menyantuni komuniti berisiko serta membina daya tahan masyarakat terhadap gejala sosial.
Mohamed Fadzli turut menggesa Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar mengambil langkah tegas menyekat akses kepada platform digital yang menyuburkan budaya maksiat dan penyimpangan seksual.
“Ruang digital tidak boleh dibiarkan menjadi medan tanpa kawalan yang merosakkan pemikiran dan akhlak khususnya golongan muda,” katanya.
Beliau turut menegaskan pendirian kerajaan negeri untuk terus memelihara kesucian Islam dan kesejahteraan rakyat tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang cuba membuka ruang kepada kebebasan tanpa batas.
Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan satu serbuan dilakukan terhadap penganjuran parti berkaitan LGBT yang dipercayai melibatkan lebih 100 lelaki tempatan di sebuah banglo di Jalan Kemumin pertengahan Jun lalu.
Pemeriksaan di lokasi menemui ratusan keping kondom dan beberapa kotak ubat HIV dalam sebuah bilik khas yang dipercayai dijadikan tempat simpanan oleh penganjur.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








