Elak guna istilah ‘haram’ terhadap tempat ibadat – EXCO Selangor
SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor menegaskan supaya semua pihak termasuk orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak menggunakan istilah ‘kuil haram’, ‘tokong haram’ atau seumpamanya apabila merujuk kepada mana-mana tempat ibadat di negeri ini.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor merangkap Pengerusi Bersama Lembaga Induk Masyarakat India Selangor (LIMAS), Papparaidu Veraman berkata, penggunaan istilah yang negatif itu tidak wajar kerana boleh menyinggung sensitiviti agama serta mencetuskan salah faham dan ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk.
Menurut beliau, tempat ibadat bukan sekadar struktur fizikal, sebaliknya merupakan institusi yang mempunyai nilai keagamaan, sejarah dan makna mendalam kepada penganutnya.
“Penggunaan label yang bersifat menghukum atau merendahkan bukan sahaja tidak menghormati pegangan agama lain malah berpotensi mengeruhkan keharmonian sosial yang menjadi asas kestabilan dan kemajuan negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Papparaidu berkata, sebarang isu berkaitan status, kedudukan atau pentadbiran tempat ibadat adalah di bawah bidang kuasa kerajaan serta pihak berkuasa berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan agensi teknikal.
Menurut beliau, setiap perkara harus diteliti berdasarkan peruntukan undang-undang, dasar semasa serta pertimbangan sosial setempat.
Tegasnya, sebarang campur tangan pihak ketiga melalui spekulasi, tekanan terbuka atau pelabelan mengelirukan hanya akan menyukarkan proses penyelesaian yang sedang diusahakan.
Tambahnya, kebanyakan kes melibatkan tempat ibadat mempunyai latar belakang sejarah yang panjang dan kompleks, merangkumi faktor pembangunan setempat, pertumbuhan komuniti serta isu pentadbiran tanah yang memerlukan penelitian menyeluruh.
“Oleh itu, pendekatan yang berasaskan dialog, keadilan, toleransi dan penyelesaian secara harmoni perlu diutamakan, bukannya sentimen atau emosi,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, komen atau perkongsian di media sosial supaya tidak mencetuskan ketidaktenteraman awam atau menjejaskan hubungan antara komuniti.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Selangor kekal komited memelihara keharmonian antara kaum dan agama selaras dengan prinsip Rukun Negara, khususnya prinsip ‘Kepercayaan kepada Tuhan’ yang menjadi asas kepada pembinaan masyarakat saling menghormati.
“Semua pihak diseru agar menolak bahasa yang memecah-belahkan serta mengutamakan adab, toleransi dan rasa hormat demi memastikan Selangor terus kekal aman, stabil dan inklusif,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








