Dua bot bawa muatan tanpa lesen ditahan di Kuala Baram
MIRI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot (vesel tunda) dan sebuah tongkang yang beroperasi tanpa lesen di perairan Kuala Baram, semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, kedua-dua vesel dikesan bergerak secara mencurigakan kira-kira 3.2 batu nautika dari barat daya Kuala Baram.
Penahanan dilakukan sekitar pukul 12.30 tengah hari oleh pasukan peronda yang terlibat dalam Op PERMAI 01/2019 dan Op TIRIS 3.0.
“Hasil pemeriksaan mendapati kru membawa muatan selain yang dibenarkan serta gagal mengemukakan dokumen pelesenan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vesel membawa lapan kru termasuk nakhoda, terdiri daripada empat warga tempatan, dua warga Myanmar dan dua warga Indonesia berumur antara 23 hingga 49 tahun.
Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurut Mohd Khairol, tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membahayakan keselamatan pelayaran.
“Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 atas kesalahan membawa muatan tidak dibenarkan dan gagal mengemukakan Lesen Perkapalan Dalam Negeri.
“Maritim Malaysia komited mempertingkat rondaan dan penguatkuasaan bagi mengekang jenayah serta pelanggaran undang-undang di laut,” tambah beliau.
Sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan boleh disalurkan ke hotline Maritim Malaysia Zon Miri di 085-649111 atau Maritim Negeri Sarawak di 082-432544 / 082-432016, atau talian kecemasan 999.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















