Dr Solehah buat laporan polis, nafi dakwaan Saidatina Khadijah RA berasal dari dunia Melayu
KUALA LUMPUR – Pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Solehah Yaacob membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan kenyataan kononnya menyebut Saidatina Khadijah RA berasal dari dunia Melayu.
Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, Dr Solehah menjelaskan bahawa video yang tular di media sosial telah disunting dan diambil di luar konteks sekali gus menyebabkan berlaku salah faham terhadap isi sebenar syarahannya.
“Berhubung dakwaan bahawa saya menyatakan Saidatina Khadijah RA berasal dari dunia Melayu, saya ingin menjelaskan bahawa dakwaan ini adalah tidak benar,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa video yang dimanipulasi itu tidak menggambarkan keseluruhan konteks ilmiah yang dibentangkan dalam program berkenaan dan tindakan pihak tertentu menularkan petikan tersebut dianggap berniat jahat serta mencemarkan reputasinya sebagai ahli akademik.
“Saya telah membuat laporan polis berhubung perkara ini dan menafikan secara tegas bahawa saya pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian,” katanya.
Menurut Dr Solehah, versi asal video yang tidak disunting boleh ditonton melalui pautan yang disertakan, manakala versi yang telah diubah suai telah dikenal pasti tular di platform TikTok.
Beliau berharap agar semua pihak menghentikan penyebaran fitnah, penyelewengan maklumat serta ejekan di media sosial dan media arus perdana, memandangkan isu ini melibatkan sensitiviti sejarah dan agama.
“Dengan penjelasan ini, saya berharap agar segala bentuk fitnah, penghinaan, penyelewengan maklumat dan ejekan di media sosial, tabloid serta media rasmi dapat dihentikan segera,” katanya lagi.
Dr Solehah menegaskan, sebagai seorang ahli akademik, beliau sentiasa berpegang kepada etika penyelidikan dan disiplin ilmu, serta terbuka kepada perbahasan secara ilmiah bukan serangan peribadi atau manipulasi kandungan.
“Hipotesis saya mengenai kejayaan bangsa Melayu dan pengaruh pinjaman bangsa Rom mungkin benar atau mungkin salah.
“Namun, dalam tradisi akademik dan Islam, kita diajar ntuk menghormati perbezaan pandangan.
“Dalam Islam, kita tidak menganiaya atau menghukum ilmuwan kerana pandangan mereka sebagaimana gereja pernah menghukum Giordano Bruno yang dibakar hidup-hidup kerana beliau menyatakan bahawa bumi beredar mengelilingi matahari dan bahawa Tuhan itu satu, bukan tiga,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








