Dr Oswald sifatkan Pandikar Amin seperti ‘cacing kepanasan’
KOTA KINABALU – Tindakan Presiden Usno, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang membidas Datuk Peter Anthony tidak ubah seperti ‘cacing kepanasan’, demikian kata Ketua Penerangan parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Dr Oswald Aisat Igau.
Menurut Dr Oswald, kenyataan Pandikar yang tersebar dalam satu video, pada Selasa lalu, telah lari daripada topik utama yang disuarakan Peter sebelum ini.
Jelas Dr Oswald, kenyataan tersebut tiada satu pun yang dijawab berhubung kritikan dibuat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah ia semata-mata hanyalah bersifat menghentam Peter dan KDM secara peribadi.
Menurut Dr Oswald lagi, kenyataan itu juga tidak menjawab mengenai kegagalan beliau bersuara mengenai masalah negeri ini semasa menjadi sebahagian daripada kerajaan dulu.
“Pandikar sepatutnya amati kenyataan DPA (Peter), dia (Pandikar) dibidas kerana menuduh Perdana Menteri hanya retorik dalam usaha menyelesaikan masalah-masalah yang timbul di Sabah.
“DPA memberitahu Pandikar supaya memberi peluang dan masa kepada Perdana Menteri untuk menyelesaikan permasalahan di Sabah.
“Pandikar mendakwa jalan di Sabah berlubang, masalah air, masalah elektrik, DPA hanya menegur beliau kenapa baru sekarang dia bersuara sedangkan sebelum ini sudah berpuluh tahun berada dalam kerajaan DPA cuma tekankan beri peluang kepada Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Selain itu, Dr Oswald turut menyangkal dakwaan Pandikar yang kononnya KDM mempunyai wakil rakyat daripada GRS iaitu Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda.
“Perlu diingat, Wetrom bukan daripada GRS, gabungan itu hanya berdaftar pada 2022 sedangkan Wetrom sudah menjadi wakil rakyat sejak 2020.
“Beginilah kalau sudah seperti ‘cacing kepanasan’, bercakap pun main hentam saja, jangan pula lupa isu ‘kambing makan pasir’, dia (Pandikar) ini jugalah yang tampil membuat kenyataan untuk mengambil tindakan terhadap pegawai kerajaan yang membongkarkan isu berkenaan, ini juga kenyataan seperti ‘cacing kepanasan’
“Pandikar juga mendakwa DPA mahu menjadi ‘the next’ Huguon Siou, saya tiada kapasiti untuk komen, biar orang KDM (Kadazan, Dusun, Murut) yang putuskan tetapi apa yang saya tahu DPA tidak berminat dengan gelaran bekenaan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Oswald turut mengingatkan Pandikar bahawa KDM telah menumbangkan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) di Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ingatan tersebut dibuat susulan kenyataan Pandikar yang mengatakan KDM belum teruji ‘kejantanannya’ dalam pentas politik.
“Mungkin Pandikar lupa, KDM telah menumbangkan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) di Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Sementara itu, Oswald turut mengakui, KDM pernah memohon untuk menyertai GRS beberapa tahun lalu, namun hasrat itu tidak kesampaian susulan dibatalkan kerana mereka menunggu terlalu lama.
“Beberapa tahun lalu, KDM ada memohon untuk menyertai GRS namun setelah menunggu bertahun lamanya KDM memutuskan untuk membatalkan hasrat itu dan bergerak solo sehingga bersama dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
”Kami juga akui ada menjemput Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam majlis KDM suatu masa dulu, tapi beliau hanya sebagai tetamu kehormat, Ketua Menteri tiada kaitan dengan KDM
“Untuk KDM membuat gabungan dengan mana-mana parti itu terpulanglah kepada kami, tiada kena mengena dengan Pandikar mahupun Usno.
“Tidak perlu ajar kami kerana KDM tahu halatujunya sendiri, sudah pasti untuk perubahan dan kemajuan,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















