Dituduh jual produk kesihatan berbahaya, penuntut IPTA ditipu RM64,000
KUALA TERENGGANU – Seorang penuntut sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang juga seorang peniaga produk kesihatan kerugian RM64,200 selepas ditipu melalui panggilan telefon.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku selepas mangsa dihubungi oleh seorang individu tidak dikenalinya pada 10 Januari lalu.
Katanya, melalui panggilan telefon itu, mangsa berusia 22 tahun itu didakwa telah menjual produk kesihatan yang menyebabkan pelanggan sakit.
“Mangsa kemudian dihubungkan dengan seorang yang mendakwa sebagai polis dan telah dituduh terlibat dalam penggubahan wang haram.
“Mangsa kemudian ditawarkan untuk membersihkan nama dan bebas dari waran tangkap dengan membuat bayaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azli berkata, mangsa telah membuat lapan kali transaksi ke dalam tujuh akaun berbeza berjumlah RM64,200.
Beliau berkata, pengadu juga telah dijanjikan sebutan kes dalam tempoh sebulan iaitu pada 26 Mac lalu bagi menyelesaikan kes.
Bagaimanapun katanya, pengadu mula mengesyaki dirinya ditipu selepas diminta membuat laporan setiap empat jam sekali kepada pihak berkenaan.
“Mangsa membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








