BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pesara lesap RM166,000 akibat ditipu ‘pegawai polis’

IPOH – Seorang pesara lelaki berusia 56 tahun berputih mata apabila wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM166,897.58 lesap selepas diperdaya sindiket penipuan melalui panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian bermula bulan lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang mendakwa mewakili Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Suspek memaklumkan kononnya nombor telefon mangsa terlibat dalam aktiviti pinjaman ah long sebelum panggilan disambungkan kepada individu lain yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, akibat panik, mangsa telah memindahkan wang simpanan KWSP ke satu akaun syarikat berjumlah RM166,897.58 atas alasan kononnya untuk tujuan siasatan.

Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas menyemak semula transaksi dan telah membuat laporan polis semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam kes berasingan, seorang penyelia tapak berusia 61 tahun turut mengalami kerugian RM307,315 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui Facebook.

Menurut Abang Zainal Abidin, mangsa melakukan 14 transaksi ke enam akaun bank berbeza selepas dijanjikan pulangan pelaburan antara 10 hingga 20 peratus dalam masa singkat.

“Mangsa mula curiga apabila diminta membuat bayaran tambahan kononnya sebagai cukai sebelum keuntungan dapat dikeluarkan. Jumlah keseluruhan kerugian daripada kedua-dua kes ini mencecah RM474,212.58,” jelasnya.

Beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan panggilan telefon mencurigakan atau tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam tempoh singkat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button