JENAYAH & MAHKAMAH

Didakwa pukul isteri guna kerusi plastik, getah paip dan penyangkut besi, Rosmaini mengaku tidak bersalah

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya dengan menggunakan beberapa objek termasuk kerusi plastik, getah paip serta penyangkut besi dalam dua kejadian berasingan.

Tertuduh, Rosmaini Abdul Raof, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Mengikut pertuduhan, Rosmaini didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Nurfitri Moktar, 39, menggunakan kerusi plastik dan getah paip di sebuah rumah di Bandar Amanjaya kira-kira pukul 5 petang pada 29 Mac lalu.

Dia turut didakwa melakukan perbuatan sama menggunakan penyangkut baju dan penyangkut besi di lokasi sama pada pukul 9 pagi, 23 April lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, selain boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

BACA JUGA:

Polis tahan lelaki didakwa pukul isteri hingga alami keguguran

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Khairul Anuar Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ruzanna Abdul Rahim.

Dalam prosiding, pihak pendakwaan memaklumkan jaminan tidak dapat ditawarkan walaupun kes tersebut boleh dijamin kerana tertuduh ketika ini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Peguam bela dalam rayuannya pula memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan besar, termasuk 11 anak hasil dua perkahwinan, dengan tujuh daripadanya masih bersekolah.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan tertuduh tidak dibenarkan jaminan memandangkan beliau masih menjalani hukuman penjara, sebelum menetapkan 16 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita yang juga penjawat awam mengalami kecederaan parah termasuk keguguran kandungan berusia 12 minggu selepas dipercayai dipukul suaminya dalam kejadian tersebut.

Suspek juga dilaporkan melarikan diri sebelum ditahan polis di sekitar Alor Setar dan difahamkan mempunyai rekod kesalahan sama pada 2021 di Johor Bahru.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button