Lelaki pukul, langgar isteri hamil ditahan
MELAKA – Polis berjaya menahan lelaki yang dipercayai bertindak ganas memukul dan melanggar kepala isterinya dengan motosikal di hadapan sebuah premis hiburan keluarga di Kota Shahbandar, pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, suspek berusia 22 tahun dan beralamat di Telok Mas, ditahan kira-kira pukul 11 pagi tadi di sebuah rumah di Taman Seri Kemendor, Jasin.
BACA JUGA:
[VIDEO] Polis buru suspek dirakam belasah isteri hamil
“Hasil maklumat dan risikan yang dijalankan polis berjaya mengesan suspek di lokasi berkenaan.
“Penahanan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Cawangan D8 dan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai penghantar barang turut mempunyai empat rekod jenayah lalu, termasuk dua kes berkaitan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.
Christopher dalam masa sama turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah atau mana-mana balai polis berhampiran.
Laporan media sebelum ini menyebut, tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan aksi keji suspek memukul wanita dipercayai isterinya yang sedang hamil.
Rakaman tersebut menunjukkan suspek memukul, menampar, menarik rambut dan melanggar kepala mangsa dengan motosikal ketika wanita itu terbaring.
Polis menerima laporan pada pukul 1.17 pagi, 16 Mac lalu daripada ibu mangsa berusia 51 tahun dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku pukul 9 malam, 15 Mac lalu di sebuah pusat hiburan apabila mangsa yang hamil dipercayai dibelasah suaminya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






