BERITA SEMASAPOLITIK

DAP Jasin tolak calon politik ekstrem pada PRN Melaka

PETALING JAYA – Sebanyak 15 cawangan DAP di Jasin menzahirkan pendirian tegas agar kerajaan perpaduan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak menamakan calon yang membawa politik ekstrem, perkauman atau bersifat memecahbelahkan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Dalam mesyuarat agung tahunan yang berlangsung pada Sabtu lalu, kesemua 15 cawangan tersebut sebulat suara meluluskan usul menyokong calon kerajaan perpaduan dengan syarat mereka menolak fahaman politik ekstrem dan berpegang kepada prinsip perpaduan serta keharmonian kaum.

“DAP Jasin komited untuk menjadi sebahagian daripada usaha membina negara yang lebih bersatu, adil dan makmur.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang membawa politik kebencian dan perpecahan,” katanya dalam kenyataan bersama baru-baru ini.

Kenyataan itu turut menekankan bahawa masa depan negara bergantung kepada kestabilan politik, keharmonian antara kaum serta kepimpinan yang progresif, justeru menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk politik sempit yang boleh menggugat perpaduan nasional.

Antara 15 cawangan yang terlibat ialah Kelubi, Air Barok, Taman Maju, Jasin Lalang, Parit Keliling, Pondok Batang, Asahan, Kong Sai, Air Panas, Serkam Pulai, Simpang Kerayong, Jalan Rim, Bukit Katong, Kemendor dan Ladang Asahan.

Walaupun kenyataan itu tidak menyebut sebarang nama, gerakan tersebut dipercayai merujuk kepada Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan merupakan antara pemimpin kerajaan perpaduan yang lantang mengkritik DAP dalam pelbagai isu kebelakangan ini.

Pada awal bulan ini, Akmal turut mengecam DAP selepas sembilan cawangan parti itu di Melaka menggesa supaya kerusi DUN dibahagikan secara sama rata antara BN dan PH dalam PRN akan datang.

Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi. Pada PRN 2021, BN memenangi 20 kerusi, PH lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) tiga.

Parlimen Jasin merangkumi lima kawasan DUN termasuk Merlimau yang kini disandang oleh Akmal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button