Catatan skor 75 GSMA bukti tadbir urus data negara di landasan terbaik
KUALA LUMPUR – Catatan skor 75 dalam laporan GSMA Digital Nation ASEAN tahun ini merupakan pengiktirafan buat usaha Malaysia memperkuatkan tadbir urus data, perlindungan privasi dan usaha membina kepercayaan digital negara.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, rekod itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keselamatan siber serta memastikan rakyat dapat menikmati ekosistem digital yang lebih selamat.
“Kepercayaan adalah asas kepada negara digital dan bagi ASEAN, ia bermakna memastikan privasi data, memperkukuh keselamatan siber serta melindungi rakyat daripada ancaman baharu.
“Pada masa sama, kita perlu memupuk persekitaran yang membolehkan perniagaan dan rakyat berasa selamat untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Digital Nation Summit Kuala Lumpur (Edisi ASEAN) 2025, di sini semalam..
Acara yang julung kali dianjurkan bersama GSMA itu menghimpunkan pemimpin kerajaan, pengawal selia, industri dan rakan serantau bagi membincangkan hala tuju masa depan digital ASEAN.
Nie Ching kemudainnya berkata, Malaysia terus komited memperkukuh tadbir urus data dan keselamatan siber menerusi pelaksanaan undang-undang baharu seperti Akta Keselamatan Siber 2024 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
Antaranya, pindaan pertama kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas 26 tahun dibuat bagi mengekang ancaman dalam talian termasuk penipuan, perjudian haram, buli siber serta eksploitasi seksual kanak-kanak.
Pindaan itu antara lain memperkenalkan perlindungan baharu seperti sekatan mesej elektronik tanpa diminta yang sering dikaitkan dengan penipuan.
Selain itu, penggubalan Akta Keselamatan Siber 2024 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 turut dilakukan bagi melengkapi undang-undang sedia ada dalam memastikan ekosistem digital lebih selamat serta terjamin.
“Kerajaan juga memperkenalkan kempen keselamatan internet peringkat kebangsaan pada Januari lalu bagi meningkatkan kesedaran literasi digital.
“Sehingga kini, kempen advokasi dan kesedaran itu telah mencapai lebih 150,000 rakyat Malaysia melibatkan pelajar sekolah, universiti, ibu bapa dan komuniti.
“Ini adalah langkah penting dalam memastikan setiap rakyat berupaya melindungi diri mereka daripada ancaman dalam talian,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








