BERITA SEMASA

Buku Mustadhafin vs Mustakbirin kupas percaturan kuasa, nasib golongan tertindas – Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melancarkan buku terbaharunya, Mustadhafin vs Mustakbirin yang mengupas percaturan kuasa dunia, kepentingan geopolitik dan nasib golongan tertindas.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, buku berkenaan lahir daripada pengalaman, pemerhatian dan pemikirannya terhadap perkembangan dunia serta bagaimana kuasa, kepentingan dan strategi antarabangsa mempengaruhi pelbagai peristiwa.

“Daripada sejarah penjajahan, kebangkitan gerakan Islam, perkembangan politik antarabangsa, konflik Palestin hinggalah perubahan keseimbangan kuasa dunia hari ini.

“Persoalannya mudah tetapi besar, siapa yang menguasai dunia? Bagaimana persepsi dibentuk? Dan bagaimana nasib golongan yang tertindas apabila berhadapan dengan kuasa-kuasa besar?” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Buku berkenaan dilancarkan dalam satu majlis di Berjaya Times Square Hotel, di sini semalam.

Mohamad berkata, beliau berbesar hati apabila karya terbaharunya itu dilancarkan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.

Majlis berkenaan turut dihadiri rakan-rakan daripada kor diplomatik antarabangsa, pimpinan kerajaan, anggota Parti Amanah Negara (AMANAH) serta pengamal media.

Menurutnya, Mustadhafin vs Mustakbirin bukan sekadar sebuah buku untuk dibaca, sebaliknya menjadi catatan yang mengajak pembaca berfikir, melihat dan merenung keadaan dunia yang sedang dilalui.

“Semoga buku kecil ini dapat membuka lebih banyak ruang untuk kita memahami percaturan dunia, kuasa dan perjuangan golongan yang tertindas,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button