BERITA SEMASAMALAYSIA MADANI

Malaysia–Brazil perkukuh kerjasama sektor pertanian

PUTRAJAYA – Malaysia dan Brazil bersepakat memperkukuh hubungan dua hala dalam sektor pertanian melalui pelbagai bentuk kerjasama strategik termasuk perdagangan, penyelidikan serta pembangunan teknologi pertanian.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu dibincangkan semasa menerima kunjungan hormat Menteri Pertanian dan Ternakan Brazil, Carlos Fávaro di Putrajaya semalam.

Mohamad Sabu
Mohamad berbincang bersama Favaro, rakan sejawatnya dari Brazil.

Menurut beliau, pertemuan tersebut diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN yang dipengerusikan oleh Malaysia tahun ini dan menjadi langkah penting dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa khususnya dalam bidang agromakanan.

“Brazil merupakan antara rakan dagang utama Malaysia dalam sektor pertanian dengan nilai perdagangan dua hala mencecah lebih RM8 bilion pada tahun 2024.

“Banyak perkara dibincangkan termasuk potensi kerjasama dalam bidang agromakanan, teknologi pertanian serta penyelidikan antara MARDI dan Embrapa, institusi penyelidikan pertanian terkemuka di Brazil,” katanya melalui hantaran di media sosial.

Mohamad berkata, Malaysia turut menyatakan hasrat agar produk tempatan seperti ayam dan daging bernilai tambah, liquid eggs, makanan haiwan peliharaan serta vaksin haiwan dapat menembusi pasaran Brazil.

Selain itu, kedua-dua pihak turut menzahirkan minat untuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan varieti tanaman seperti jagung bijian dan kelapa bagi meningkatkan hasil serta kecekapan pengeluaran tempatan.

“Saya yakin kunjungan ini akan membuka ruang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan pertukaran kepakaran antara Malaysia dan Brazil sekali gus memastikan sektor pertanian negara terus maju dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button