Malaysia, Kazakhstan perkukuh kerjasama sektor pertanian dan keterjaminan makanan
PUTRAJAYA – Malaysia dan Kazakhstan sepakat memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor teknologi pertanian moden, keterjaminan makanan serta meneroka peluang pelaburan bersama dalam menangani isu sekuriti makanan global.
Komitmen tersebut dizahirkan semasa kunjungan hormat Menteri Perdagangan dan Integrasi Republik Kazakhstan, TYT Arman Shakkaliyev kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Putrajaya, hari ini.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, pertemuan sulung kedua-dua pemimpin itu telah membuka ruang membincangkan potensi kerjasama dalam bidang agro-makanan.
“(Pertemuan itu turut) memperluas kolaborasi teknologi pertanian, termasuk peluang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama antara MARDI dengan institusi penyelidikan di Kazakhstan,” menurut kenyataan KPKM.
Hadir sama, Duta Besar Republik Kazakhstan ke Malaysia, TYT Bulat Sugurbayev dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM, Datuk Sri Norazman Ayob.
Tambah kenyataan KPKM, dalam pertemuan tersebut, Malaysia turut meneroka potensi pembukaan akses pasaran produk pertanian ke Kazakhstan, antaranya produk komposit berasaskan susu atau telur serta buah durian.
“Kunjungan itu merupakan sebahagian daripada siri lawatan TYT Arman ke Malaysia sempena penyertaan beliau dalam Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2025,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, Mohamad turut menjemput TYT Arman dan Kazakhstan untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2026 sebagai platform menggalakkan perdagangan dua hala dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








