Reformasi membuahkan hasil, NAFAS catat untung tertinggi – Mohamad Sabu
KUALA LUMPUR – Pencapaian Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mencatat keuntungan tertinggi selama dua tahun berturut-turut mencerminkan hasil kerja keras serta urus tadbir yang telus organisasi berkenaan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mohamad Sabu berkata, keuntungan masing-masing berjumlah RM227 juta pada 2024 dan RM201 juta pada 2025 itu sekali gus menjadi bukti komitmen semua pihak bermula daripada pengurusan sehingga ahli-ahli peladang di bawah NAFAS.
Menurut beliau, pelaksanaan reformasi yang dilakukan adalah bertujuan memastikan manfaat sebenar dapat dinikmati golongan peladang, bukannya sekadar untuk kepentingan pihak tertentu atau sekadar memenuhi tuntutan dokumentasi.
Katanya, menerusi Pelan Reformasi 2026–2030, usaha akan ditumpukan kepada penambahbaikan tadbir urus, memperkukuh integriti serta memastikan setiap dana milik ahli diuruskan dengan lebih berhemah supaya keuntungan yang diperoleh dapat dipulangkan semula kepada peladang.
“Sebab tu Bang Mat nak tegaskan, kita buat reformasi ni untuk peladang. Bukan untuk orang atas-atas, bukan untuk cantik atas kertas, tapi supaya peladang dapat manfaat sebenar.
“Melalui Pelan Reformasi 2026–2030, kita nak tadbir urus lebih kemas, integriti lebih kukuh, dan setiap sen duit ahli dijaga elok-elok. Supaya hasil keuntungan itu kembali semula kepada peladang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, NAFAS dalam satu kenyataan berkata, keuntungan itu dicapai selepas merekodkan kerugian besar masing-masing berjumlah RM421 juta pada 2022 dan RM236 juta pada 2023.
Menurutnya, langkah pemulihan tersebut digerakkan melalui pengukuhan aliran pendapatan teras, pemulihan unit perniagaan yang mengalami kerugian serta pemantapan kawalan dalaman NAFAS.
Seiring dengan itu, katanya, NAFAS memulakan langkah proaktif melalui Pelan Reformasi NAFAS 2026–2030 (NAFAS 2.0) yang bertemakan Transformasi, Pemerkasaan dan Berdaya Saing sebagai kerangka transformasi struktur tatakelola dan perniagaan bagi memperkukuh integriti serta kelestarian institusi demi kepentingan seluruh warga peladang.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata,
kekuatan NAFAS akan memberi kesan langsung kepada kebajikan peladang sekali gus memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Beliau menegaskan usaha yang dilaksanakan bukan hanya bertujuan meraih keuntungan, sebaliknya bagi mengangkat martabat golongan peladang di seluruh negara.
“Bila NAFAS kuat, peladang makin terbela. Bila peladang terbela, keterjaminan makanan negara pun makin terjamin.
“Insya-Allah, kita kerja bukan sekadar cari untung, tapi nak angkat martabat peladang di seluruh negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















