BERSATU pecat keahlian Ketua Bahagian Sepang, Puchong
CYBERJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini mengumumkan pemecatan keahlian dua Ketua Bahagian, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali (Sepang) dan Mohd Shukor Mustaffa (Puchong), berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Mohd Radzi Manan dalam satu notis semalam berkata, kedua-duanya dipecat kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Beliau menambah, keputusan dibuat selepas pihak Lembaga Disiplin menerima aduan bertulis daripada ahli parti terhadap responden berkenaan.
“Sehubungan itu, Lembaga Disiplin mengambil tindakan menyiasat aduan serta memanggil responden untuk satu sesi pendengaran pada 30 Oktober 2025, dan seterusnya membuat keputusan selaras dengan Fasal 22.5 Perlembagaan BERSATU,” katanya dalam notis berkenaan.
Jelas beliau, responden yang dipecat keahlian terlucut semua jawatan yang disandang dalam parti, dan hendaklah dikeluarkan daripada senarai ahli BERSATU dengan serta-merta.
Beliau bagaimanapun berkata, Mohd Shukor dan Suhaimi berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari.
Sementara itu, notis berkenaan turut memaklumkan bahawa Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis, dibebaskan dengan teguran.
Sebelum ini, Abdul Razak mempertikaikan sikap keras yang didakwa ditunjukkan oleh Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berhubung isu dalaman BERSATU, dan menganggap Ketua Penerangan parti itu sebagai ‘terlalu mentah’.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








