Tanah subur jangan terbiar, PM galak rakyat bercucuk tanam
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat agar memanfaatkan tanah yang dimiliki bagi bercucuk tanam, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.
Menurut Perdana Menteri, keadaan di mana tanah subur dibiarkan kosong sedangkan rakyat merungut harga makanan mahal adalah sesuatu yang tidak wajar.
“Mana mungkin rumah yang ada tanah dibiarkan begitu saja, kemudian kita keluh harga makanan mahal. Benih boleh disediakan, latihan pun boleh diberi, tetapi yang penting rakyat digalakkan bercucuk tanam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani Ke-40 Peringkat Kebangsaan dan Perasmian Pasar Tani Putrajaya di sini, hari ini.
Anwar berkata, kejayaan pasar tani sejak penubuhannya pada tahun 1984 adalah bukti komitmen kerajaan dalam membela nasib petani, peladang dan nelayan dengan memastikan mereka menikmati harga yang berpatutan.
Menurut beliau, kelemahan infrastruktur pemasaran yang dikuasai orang tengah menyebabkan golongan itu selama ini tertekan dengan harga tidak munasabah walaupun permintaan terhadap hasil pertanian tinggi.
“Isu pemasaran ini sudah lama kita bincangkan. Sebab itu diwujudkan FAMA sebagai satu badan yang boleh membantu golongan petani dan nelayan. Kalau tidak, keadaan mereka akan kekal miskin kerana hasil dijual pada harga yang sangat rendah berbanding harga di bandar,” katanya.
Mengimbas pengalaman ketika menjadi Menteri Pertanian, Anwar berkata, pasar tani pertama kali diperkenalkan di Wisma Tani pada 1984 dengan hasil pertanian dibawa terus oleh lori Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dari kawasan luar bandar untuk dijual kepada penjawat awam.
“Waktu itu harga semua hasil habis terjual kerana lebih murah. Kemudahan pengangkutan ditanggung oleh FAMA manakala tapak ditanggung kementerian. Dari situlah ia berkembang ke negeri-negeri lain sehingga hari ini sudah menjangkau usia 40 tahun,” ujarnya.
Beliau berkata, kerjasama antara pelbagai agensi seperti FAMA, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Bank Pertanian amat penting bagi menjamin pasaran dan harga yang lebih baik untuk hasil pertanian tempatan.
“Masalah pertanian tidak boleh diselesaikan oleh satu pihak sahaja. Apabila harga hasil terjamin, barulah pengeluaran dapat ditingkatkan. Malaysia tanahnya subur, tidak masuk akal jika kita masih berdepan masalah kekurangan makanan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment