FAMA capai jualan RM215 juta, hampir 65 peratus daripada sasaran – Mohamad Sabu
PUTRAJAYA – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mencatatkan jualan berjumlah RM215 juta setakat Ogos lalu, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menurut Mohamad Sabu, jumlah berkenaan melibatkan seramai 5,618 usahawan di 229 lokasi pasar tani di seluruh negara.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan peranan FAMA yang konsisten dalam membantu petani memasarkan hasil pertanian pada harga lebih baik sekali gus memberi pilihan lebih berpatutan kepada pengguna.
“Sasaran nilai jualan tahunan sekitar RM330 juta, dengan pencapaian setakat ini telah mencapai 65 peratus daripada sasaran,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani Ke-40 Peringkat Kebangsaan dan Perasmian Pasar Tani Putrajaya yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Baca juga : Tanah subur jangan terbiar, PM galak rakyat bercucuk tanam

Mohamad Sabu berkata, inisiatif pasar tani mula diperkenalkan pada 1984 oleh Menteri Pertanian ketika itu, iaitu Anwar Ibrahim, sebelum berkembang ke seluruh negara.
“Sekarang pasar tani telah merebak di seluruh negara dan hari ini kita bawa ke Putrajaya supaya penduduk di sini juga dapat menikmati pembelian bahan-bahan makanan pada harga yang agak sesuai. FAMA menjalankan kerja untuk memberi khidmat supaya harganya tidak begitu tinggi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad turut memaklumkan inisiatif jualan secara dalam talian dengan kerjasama syarikat penghantaran seperti Grab sedang diperluaskan bagi menjimatkan kos sewaan dan pengangkutan.
“Jualan dalam talian ini peringkat permulaan dan kita tahulah masyarakat desa, menurut saya sendiri, belum kuasai IT ini. Tetapi pada masa akan datang ia akan menjadi popular dan boleh menjimatkan lagi harga,” jelasnya.
Dalam masa sama, Mohamad menggalakkan rakyat memanfaatkan tanah di kediaman masing-masing untuk bercucuk tanam serta mengusahakan ternakan kecil termasuk akuakultur menggunakan sistem bioflok yang kini semakin digemari anak muda.
“Biarlah halaman kita itu dihijaukan dengan tanaman. Kita kena ada semangat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








