BERITA SEMASADALAM NEGERI

KPKM perkukuh pemantauan, audit dan latihan tadbir urus Persatuan Nelayan – Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang melaksanakan pelbagai langkah strategik bagi memperkukuh tadbir urus serta menilai prestasi serta kecekapan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara langkah utama yang dilaksanakan ialah penilaian Indeks Prestasi Utama (KPI) tahunan, pelaksanaan audit dalaman dan luaran secara berkala, serta penganjuran latihan kepimpinan dan pengurusan bagi mempertingkat kemahiran Ahli Lembaga Pengarah dan pengurus PNK.

Selain itu kata beliau, kementerian turut memperkenalkan Pelan Transformasi PNK untuk menstruktur semula persatuan yang lemah agar lebih mampan, berdaya saing dan berfungsi dengan lebih efektif dalam menjaga kebajikan nelayan.

Langkah-langkah itu dilaksanakan bagi memastikan setiap PNK benar-benar berperanan sebagai penggerak utama pembangunan komuniti nelayan serta menjamin pengurusan yang telus dan berakauntabiliti.

“Persatuan Nelayan ditubuhkan di bawah Akta Persatuan Nelayan 1971 (Akta 44) dengan matlamat meningkatkan kebajikan dan pembangunan sosioekonomi nelayan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di Dewan Rakyat hari ini.

Setakat ini, terdapat 101 PNK di seluruh negara dengan keanggotaan melebihi 84,000 nelayan.

Menurut Mohamad, pelbagai program sokongan turut disediakan termasuk kemudahan pemasaran hasil laut, aktiviti akuakultur, geran keusahawanan, serta program khas untuk wanita dan belia nelayan bagi memperkukuh ekonomi komuniti nelayan.

“Matlamat kita jelas iaitu untuk memastikan setiap Persatuan Nelayan bukan sahaja menjaga kebajikan ahli tetapi juga menjadi pemangkin peningkatan pendapatan dan ketahanan sektor perikanan negara.

“Dengan kerjasama semua pihak, saya yakin Persatuan Nelayan akan terus maju dan menyumbang kepada keterjaminan makanan negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button