BERITA SEMASA

Nelayan boleh beli petrol subsidi lebih 20 liter tanpa permit khas

KUALA LUMPUR – Nelayan berdaftar kini boleh terus membeli petrol bersubsidi melebihi 20 liter tanpa memerlukan permit khas tertakluk kepada peruntukan sedia ada petrol bersubsidi sebanyak 50 liter sehari.

Kemudahan itu disediakan menerusi aplikasi MyMinyak yang digunakan dalam penyaluran subsidi bahan api kepada golongan itu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya menyambut baik maklum balas positif daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung mekanisme penyaluran petrol bersubsidi untuk nelayan.

Beliau berkata, KPDN memaklumkan syarat permit khas bagi pembelian petrol bersubsidi melebihi 20 liter tidak terpakai kepada nelayan kerana penyaluran subsidi itu sudah dikawal selia menerusi aplikasi MyMinyak.

“Mekanisme dan manfaat subsidi ini adalah sejajar dengan komitmen Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menguruskan sektor pertanian terutama perikanan dengan lebih berkesan dan mampan.

“Kemudahan ini juga merupakan langkah proaktif dalam memastikan kebajikan komuniti nelayan terus terpelihara, di samping memperkukuh kawal selia bekalan bahan api negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, LKIM akan mengukuhkan kerjasama dengan KPDN melalui integrasi data aplikasi MyMinyak ke dalam Sistem Permit Bekalan bagi memastikan penyaluran subsidi lebih telus dan berkesan dalam mengekang ketirisan.

“LKIM komited untuk terus bekerjasama dengan pihak penguat kuasa KPDN serta agensi berkaitan bagi memastikan tiada ruang berlakunya ketirisan atau penyalahgunaan bahan api bersubsidi.

“Penggunaan teknologi melalui Aplikasi MyMinyak akan terus diperkasakan sebagai mekanisme kawal selia utama bagi memantau kelayakan serta kuantiti pembelian di lapangan,” katanya lagi.

LKIM turut memaklumkan, pihaknya akan terus memantau pelaksanaan inisiatif itu di semua peringkat bagi memastikan nelayan menerima manfaat secara adil.

Selain itu, sebarang tuntutan dan keperluan berkaitan penyaluran subsidi bahan api kepada nelayan masih dalam peringkat penelitian bagi mencari kaedah penyaluran yang lebih berkesan serta mampu mengekang ketirisan subsidi.

“Nelayan perlu meningkatkan produktiviti tangkapan ikan selaras dengan kemudahan subsidi ini bagi mencapai agenda keterjaminan makanan negara selaras aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button