PNK Kalabakan ditubuh, perkukuh pembangunan dan kebajikan komuniti nelayan Sabah
TAWAU – Penubuhan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kalabakan dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan sosioekonomi komuniti nelayan di kawasan pedalaman daerah ini.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, ia merupakan langkah strategik bagi memastikan komuniti nelayan di kawasan luar bandar Tawau mendapat akses lebih sistematik kepada pelbagai program pembangunan, bantuan kebajikan dan peluang ekonomi.

“Sehingga Jun 2026, komuniti nelayan di kawasan Kalabakan telah menerima manfaat melalui Program Baik Pulih Rumah Nelayan di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) yang melibatkan lapan orang penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak RM160,000.
“Selain itu, LKIM turut mengenal pasti beberapa keperluan pembangunan lain termasuk bantuan peralatan nelayan dan kemudahan infrastruktur yang akan dipertimbangkan tertakluk kepada keutamaan serta peruntukan semasa,” katanya ketika merasmikan PNK Kalabakan di Dewan Hotel De Choice, di sini semalam.
Menurut beliau, PNK Kalabakan yang didaftarkan secara rasmi pada 13 Mac 2026 dengan nombor pendaftaran 092 merupakan Persatuan Nelayan Kawasan ke-92 di Malaysia dan yang ke-17 ditubuhkan di Sabah.
Penubuhan persatuan itu melibatkan komuniti nelayan di kawasan Kalabakan yang merangkumi Tanjung Batu, Merotai serta Gugusan FELDA Umas.
“Diharapkan dengan penubuhan PNK Kalabakan ini, ia mampu menjadi pemangkin utama kepada pembangunan komuniti nelayan tempatan yang lebih progresif, berdaya saing serta mampan dalam memacu sosioekonomi mereka,” katanya lagi.
Pada majlis sama, Muhammad Faiz turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 146 nelayan berdaftar sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan membantu mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi komuniti nelayan.

Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan LKIM dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan nelayan sentiasa diberi perhatian.
Turut hadir Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy; Ketua Pengarah LKIM, Dr Abdul Salim Tajudin; Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Pertubuhan Nelayan LKIM, Norfajarwati Baharudin; Pengarah LKIM Sabah, Mohd Jamil Abdullah serta Pengerusi Sementara PNK Kalabakan, Roslee @ Selamat Yusuf.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













