Isu kuota subsidi bahan api: Kerajaan teliti penambahbaikan bantu nelayan
PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneliti cadangan penambahbaikan kuota subsidi bahan api bagi nelayan susulan kebimbangan terhadap had semasa, khususnya melibatkan vesel Zon A.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memaklumkan, pihaknya memahami kekangan dihadapi golongan nelayan, terutama berkaitan had subsidi sebanyak 50 liter sehari yang dilihat tidak lagi mencukupi dalam situasi semasa.
Menurut kenyataan itu, skim subsidi diesel dan petrol yang dilaksanakan sejak 2006 bertujuan meringankan sebahagian kos operasi penangkapan ikan, namun bukan untuk menampung keseluruhan perbelanjaan.
“Penetapan kuota dibuat dengan mengambil kira aspek kawalan, ketelusan serta kedudukan kewangan kerajaan bagi memastikan bantuan disalurkan secara mampan dan berkesan,” katanya.
Tambah LKIM, perkembangan industri perikanan turut menjadi pertimbangan termasuk perubahan teknologi vesel serta peningkatan kuasa enjin yang menyumbang kepada penggunaan bahan api lebih tinggi.
“Sehubungan itu, sebarang cadangan untuk menambah baik kadar atau mekanisme subsidi akan diteliti secara berperingkat dengan mengambil kira kebajikan nelayan serta keupayaan kewangan negara,” jelas kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, nelayan serta orang ramai disaran memahami cabaran global masa kini termasuk krisis tenaga dunia yang memberi kesan langsung terhadap harga bahan api dan kos operasi.
“Kerajaan kekal komited mencari keseimbangan terbaik antara membantu golongan nelayan dan memastikan kestabilan kewangan negara terus terpelihara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















