BERITA SEMASA

IJN lakar sejarah jadi hospital pertama di Asia guna Sistem Affera™ Prism-2

KUALA LUMPUR – Institut Jantung Negara (IJN) melakar sejarah baharu dalam penjagaan kardiovaskular apabila muncul sebagai hospital pertama di Asia yang menggunakan Sistem Pemetaan & Ablasi Affera Prism-2 dengan Kateter Sphere-9 secara klinikal bagi merawat fibrilasi atrium (AFib).

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof. Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata, status sebagai hospital pertama di Asia yang menggunakan sistem berkenaan secara klinikal menggariskan komitmen IJN dalam memajukan inovasi rawatan jantung.

“Menjadi hospital pertama di Asia yang menggunakan sistem Affera Prism-2 secara klinikal merupakan satu pencapaian penting bagi IJN. Ini mencerminkan komitmen kami untuk membawakan rawatan jantung terkini kepada rakyat Malaysia, selaras dengan piawaian global.

“Kemajuan ini membolehkan kami menawarkan pendekatan rawatan yang lebih tepat kepada pesakit, disokong oleh data keselamatan klinikal yang kukuh.

“Lebih penting lagi, ia memastikan pesakit yang mempunyai keadaan irama jantung kompleks mempunyai akses kepada pilihan rawatan yang lebih selamat dan lebih maju di dalam negara, tanpa perlu mendapatkan rawatan di luar negara,” katanya.

Dalam kenyataan berkaitan, IJN memaklumkan penggunaan platform elektrofisiologi bersepadu generasi akan datang itu sekali gus memperkukuh kedudukan IJN sebagai peneraju rawatan jantung canggih di rantau ini.

Menurut IJN, sistem Affera Prism-2 menggabungkan perisian pemetaan jantung canggih dan teknologi ablasi dwi-tenaga dalam satu platform, membolehkan pakar merawat gangguan irama jantung kompleks dengan ketepatan dan fleksibiliti lebih tinggi.

“Dengan mengintegrasikan pemetaan dan terapi dalam satu sistem, ia menyokong kecekapan prosedur yang dipertingkatkan sambil mengekalkan profil keselamatan klinikal yang kukuh.

“Kateter Sphere-9 pula menggabungkan fungsi pemetaan dan rawatan dalam satu peranti, sekali gus mengurangkan keperluan penggunaan pelbagai alat khusus semasa prosedur.

“Sistem ini direka untuk memperkemas aliran kerja dan meningkatkan ketepatan rawatan yang turut menampilkan revolusi dalam reka bentuk menerusi keupayaan menyampaikan dua mod tenaga iaitu tenaga frekuensi radio terma serta tenaga medan berdenyut bukan terma dalam platform sama,” katanya.

jantung
Sistem Pemetaan dan Ablasi Affera Prism-2 yang diperkenalkan IJN membuka lembaran baharu dalam rawatan aritmia kompleks.

IJN menambah, modaliti tenaga berkenaan membantu menyasarkan tisu jantung tidak normal yang menyebabkan fibrilasi atrium sambil meminimumkan kesan terhadap struktur jantung sekeliling.

Pada masa sama, ia membolehkan doktor menyesuaikan pemilihan tenaga mengikut keperluan klinikal serta anatomi khusus setiap pesakit.

“Keupayaan dwi-tenaga ini memberikan fleksibiliti prosedur dan menyokong strategi rawatan yang lebih tepat serta bersifat individual.

“Fibrilasi atrium, gangguan irama jantung paling lazim di dunia, menjejaskan lebih 60 juta individu di seluruh dunia. Keadaan itu berlaku apabila ruang atas jantung berdegup tidak teratur sehingga mengurangkan keupayaan jantung mengepam darah secara cekap.

“Jika tidak dirawat, AFib meningkatkan risiko strok, kegagalan jantung dan kemasukan hospital berulang yang menjejaskan kualiti hidup pesakit secara ketara. Seiring peningkatan kes AFib, keperluan terhadap penyelesaian rawatan lebih maju dan berkesan menjadi semakin mendesak,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pakar Perunding Kardiologi Kanan dan Pengarah Klinikal Elektrofisiologi Intervensi & Peranti Implan IJN, Datuk Dr Azlan Hussin berkata, fibrilasi atrium kekal sebagai keadaan yang progresif dan mencabar untuk dirawat.

“Fibrilasi atrium selalunya menjadi lebih sukar untuk dirawat apabila ia berkembang. Integrasi perisian pemetaan canggih dengan teknologi ablasi dwi-tenaga membolehkan kami memperibadikan rawatan untuk setiap pesakit dengan lebih berkesan.

“Akhirnya, ini meningkatkan hasil dan menawarkan harapan baharu untuk individu yang hidup dengan gangguan irama jantung yang berterusan,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button