BERITA SEMASA

IJN hospital pertama Malaysia capai pengesahan EMRAM tahap 7

KUALA LUMPUR – Institut Jantung Negara (IJN) menjadi hospital pertama di Malaysia yang mencapai pengesahan Tahap 7 di bawah model Electronic Medical Record Adoption Model (EMRAM) yang dibangunkan oleh Persatuan Sistem Pengurusan dan Maklumat Penjagaan Kesihatan (HIMSS).

Menurut IJN, model berkenaan merupakan rangka kerja lapan tahap yang diiktiraf pada peringkat global bagi menilai sejauh mana hospital menerima pakai dan mengintegrasikan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dalam amalan klinikal.

Menurut kenyataan itu, Tahap 7 merupakan tahap kematangan digital tertinggi yang menandakan persekitaran hospital digital sepenuhnya tanpa penggunaan kertas, selain disokong analitik data lanjutan dan struktur tadbir urus yang kukuh.

“Hospital yang mencapai pengesahan pada tahap ini menunjukkan aliran kerja klinikal yang dioptimumkan, pengurangan ralat perubatan, proses yang diseragamkan serta pembuatan keputusan berasaskan data,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Baca juga : IJN lakar sejarah jadi hospital pertama di Asia guna Sistem Affera™ Prism-2

Model berkenaan bukan sahaja menilai pelaksanaan sistem digital, malah turut melihat sejauh mana sistem tersebut diterapkan dalam aliran kerja harian bagi meningkatkan keselamatan pesakit, dokumentasi klinikal, pengurusan ubat-ubatan, sokongan keputusan klinikal, analitik data dan operasi tanpa kertas.

Bagi mencapai Tahap 7, hospital perlu melalui proses pengesahan antarabangsa yang ketat oleh HIMSS, termasuk semakan dokumentasi elektronik secara komprehensif, demonstrasi sistem secara langsung, pengesahan aliran kerja serta temu bual dengan pasukan klinikal bagi memastikan sistem digital digunakan secara menyeluruh dalam penjagaan pesakit.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof. Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md. Taib berkata, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan IJN terhadap kecemerlangan digital serta keselamatan pesakit.

“Pengesahan Tahap 7 ini mengesahkan bahawa sistem digital kami bukan sahaja canggih, malah diterapkan sepenuhnya dalam rawatan kardiovaskular.

“Ia memperkasakan doktor kami dengan maklumat tepat pada masa nyata serta membantu pesakit memperoleh rawatan yang lebih selamat, cekap dan berkualiti tinggi,” katanya.

Menurut beliau, dengan pencapaian tersebut IJN kini beroperasi dalam persekitaran tanpa kertas sepenuhnya apabila dokumentasi klinikal, pengurusan ubat-ubatan dan penyelarasan penjagaan pesakit disepadukan secara lancar merentasi keseluruhan kontinum penjagaan.

“Keupayaan analitik lanjutan pula membolehkan pengawasan klinikal masa nyata, pemantauan prestasi serta penambahbaikan kualiti secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Informatik Kesihatan dan Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotoraks IJN, Prof. Datuk Seri Dr. Alwi Mohamed Yunus berkata, kejayaan mencapai Tahap 7 membuktikan transformasi digital di IJN telah diterapkan sepenuhnya dalam budaya klinikal hospital tersebut.

“Pasukan kami dilengkapi maklumat yang boleh diambil tindakan secara terus di tempat rawatan, sekali gus membolehkan kami memperhalusi rawatan serta meningkatkan keputusan untuk pesakit.

“Sebagai antara kumpulan hospital terpilih di dunia yang mencapai status EMRAM Tahap 7, IJN menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan penjagaan kesihatan digital serta mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam penjagaan kardiovaskular berteraskan teknologi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button