BERITA SEMASA

HIAZ nafi perlu bayar RM8.3 juta, dakwa proses undang-undang masih berjalan

KUALA LUMPUR – Hospital Islam Az-Zahrah (HIAZ) hari ini menafikan dakwaan pihaknya perlu membayar RM8.3 juta dalam tempoh 14 hari seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris sambil menegaskan operasi hospital berjalan seperti biasa di bawah pengurusan baharu.

Dalam satu kenyataan rasmi, HIAZ menjelaskan tindakan undang-undang berkenaan melibatkan insiden yang berlaku pada 2003 iaitu 22 tahun lalu, ketika hospital masih dikenali sebagai Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah.

Menurut kenyataan itu, kes hanya dibawa ke mahkamah pada 2018 dan membabitkan kelahiran bayi pramatang pada usia kandungan 26 minggu yang dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

“Berdasarkan rekod, ibu tersebut telah bersalin pada 14 Jun 2002 dan kemudian mengalami kelahiran bayi pramatang pada 26 Februari 2003. Bayi tersebut tidak dilahirkan di HIAZ tetapi di Hospital Putrajaya selepas dirujuk oleh pakar HIAZ yang memberikan rawatan profesional sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut HIAZ, isu yang timbul adalah berkaitan jumlah hutang yang belum diselesaikan di bawah pengurusan lama dan tidak melibatkan sebarang kecuaian perubatan oleh pihak hospital ketika itu.

“Pengurusan baharu HIAZ komited untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan tanpa sebarang gangguan terhadap operasi harian,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pihak pengurusan terdahulu sedang dalam proses menyelesaikan jumlah penghakiman yang dituntut dan telah membayar sebahagian besar daripada tuntutan tersebut.

“Kami difahamkan bayaran signifikan telah dibuat oleh pihak pengurusan lama sebagai sebahagian daripada penyelesaian,” menurut kenyataan itu.

HIAZ turut memaklumkan pihaknya akan membantah proses penyitaan yang didakwa dilakukan oleh peguam penuntut kerana mendakwa terdapat kekhilafan dalam pelaksanaan tindakan tersebut.

Sementara itu, HIAZ menyifatkan laporan media terbabit sebagai bersifat salah lapor dan telah mencemarkan imej hospital.

“Gambar kawasan yang ditutup dengan pita keselamatan disiarkan oleh akhbar berkenaan bukanlah menunjukkan penutupan hospital, sebaliknya memberikan tanggapan yang salah kepada pembaca,” katanya.

Hospital itu turut menafikan pihaknya diarahkan membayar RM8.3 juta dalam masa 14 hari, sebaliknya menegaskan proses undang-undang masih berjalan.

“Ada juga cubaan mengaitkan Menteri Kesihatan kononnya mengarahkan pemindahan pesakit dari hospital ini, sedangkan perkara itu tidak berlaku seperti difahami segelintir pembaca,” katanya lagi.

Menurut kenyataan itu, HIAZ telah menghubungi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Kementerian Kesihatan untuk menjelaskan situasi sebenar.

“Operasi hospital kekal berjalan seperti biasa dan kami menghargai kepercayaan serta sokongan berterusan daripada orang ramai,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button