DPA di peringkat akhir, dijangka dibawa ke Parlimen dalam masa terdekat – Azam Baki
PUTRAJAYA – Mekanisme Perjanjian Pendakwaan Tertangguh (Deferred Prosecution Agreement, DPA) kini berada pada peringkat akhir penelitian di Jabatan Peguam Negara dan dijangka dibawa ke Parlimen dalam masa terdekat bagi memperkukuhkan kaedah pemulihan aset negara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, isu DPA ketika ini berada di peringkat Peguam Negara dan beliau percaya ia sudah berada pada fasa akhir.
“Saya memang nakkan akta ini cepat mungkin dibawa ke Parlimen, paling tidak pada sesi penggal kedua untuk dibentangkan di Parlimen bagi mendapatkan keputusan daripada ahli-ahli Parlimen.
“Ini kerana ia penting dan kita perlu bergerak ke hadapan untuk mempunyai kaedah yang lebih baik dalam membuat pemulihan aset daripada penjenayah,” katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.
Baca juga : Seleweng dana TKAT: SPRM tahan dua pegawai tinggi, empat pegawai kanan ATM
Menurut beliau, pemulihan aset di bawah DPA tidak melibatkan urusan perniagaan biasa seperti kutipan cukai, sebaliknya membabitkan kesalahan jenayah yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang menyalahi undang-undang jenayah negara.
Katanya, kesalahan itu termasuk jenayah rasuah, pengubahan wang haram serta jenayah lain di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), undang-undang alam sekitar dan sebagainya.
Azam menjelaskan, sebagai contoh sekiranya satu kes melibatkan pencemaran alam sekitar yang merupakan kesalahan jenayah, pelaksanaan DPA membolehkan syarikat terlibat dipertanggungjawabkan untuk memulihkan sungai yang tercemar menggunakan kos sendiri.
“Selain itu, syarikat berkenaan juga perlu membayar pampasan kepada pihak yang mengalami kecederaan akibat pencemaran tersebut dan seterusnya membayar penalti kepada kerajaan berdasarkan satu penyelesaian tertentu yang dipersetujui antara pihak Peguam Negara dan pihak yang melakukan kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, secara ringkasnya DPA bermaksud pendakwaan boleh dijalankan tetapi ditangguhkan dengan penyelesaian tertentu, yang akhirnya membolehkan pemulihan aset dilaksanakan untuk dikembalikan kepada kerajaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







