BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Seleweng dana TKAT: SPRM tahan dua pegawai tinggi, empat pegawai kanan ATM

PUTRAJAYA – Dua pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antara individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu lagi siasatan rasuah berkaitan perolehan, yang telah dijalankan secara senyap sejak 7 Oktober tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kes berkenaan turut melibatkan keseluruhan empat pegawai kanan ATM dan sembilan orang awam, menjadikan jumlah individu terlibat seramai 15 orang setakat ini.

Menurutnya, pegawai-pegawai itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan perolehan pembekalan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Walau bagaimanapun, Azam berkata, mereka tidak dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman memandangkan siasatan berada di peringkat akhir.

“Pemanggilan mereka baru-baru ini adalah bagi melengkapkan siasatan terakhir dan kes ini hampir siap untuk dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam sidang media hari ini.

@malaysiatribune

Dua pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antara individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu lagi siasatan rasuah berkaitan perolehan yang telah dijalankan sejak 7 Oktober tahun lalu. #malaysiatribune #atm #sprm #videoreelsシ #trendingnewsmalaysia

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

Baca juga : SPRM sita RM11.4 juta barangan milik bekas Panglima Tentera Darat

Azam berkata, SPRM telah menyita pelbagai aset dalam kes berkenaan termasuk wang tunai RM1.3 juta, mata wang asing bernilai RM721,000, serta emas seberat 2.49 kilogram bernilai kira-kira RM1.7 juta.

Turut disita ialah beberapa kenderaan termasuk Mercedes A180, Toyota Vellfire, sebuah Proton Iris, serta dua motosikal.

Selain itu, SPRM membekukan lapan akaun syarikat dan empat akaun individu dengan nilai keseluruhan RM4.7 juta.

“Jumlah saksi yang telah dirakam percakapan bagi kes ini adalah seramai 35 orang, dan siasatan akan diselesaikan sepenuhnya selewat-lewatnya minggu hadapan,” katanya.

Azam tidak menolak kemungkinan sekurang-kurangnya dua individu akan dituduh dalam kes ini, bergantung kepada keputusan pihak pendakwaan termasuk kemungkinan pertuduhan terhadap pihak lain sebagai pensubahat.

Beliau menegaskan kes ini dianggap besar dan sensitif bukan semata-mata kerana nilai rampasan, tetapi kerana pangkat dan kedudukan individu yang terlibat, sekali gus melibatkan kepentingan awam.

“Saya ingin menegaskan bahawa SPRM tidak bertindak atas sebarang arahan politik atau tekanan mana-mana pihak. Keutamaan kami adalah memastikan siasatan dijalankan secara telus, profesional dan diselesaikan dengan kadar segera,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button