BERITA SEMASA

Belia berkualiti miliki kepimpinan, prinsip dan jati diri kukuh

SEBERANG JAYA – Golongan belia yang berkualiti tidak diukur berdasarkan usia sebaliknya memiliki kepimpinan, prinsip dan jati diri yang kukuh dalam mempertahankan perpaduan nasional.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, golongan belia seharusnya memainkan peranan sebagai ejen perpaduan yang menyatukan rakyat berbilang kaum dan agama dan bukannya terpengaruh dengan retorik murahan yang boleh memecah-belahkan keharmonian negara.

“Belia ini bukan hanya sekadar umurnya yang muda tetapi belia yang berkualiti, belia yang menjadi ejen perpaduan dan menyatupadukan rakyat tanpa mengira bangsa, kaum, agama atau latar belakang,” katanya selepas merasmikan Program Santuni Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan 2026 dan Majlis Peluncuran Sejati MADANI X Belia, di sini hari ini.

Menurut beliau, golongan belia tidak seharusnya melayan sebarang retorik perpecahan yang boleh mengganggu keselamatan serta kesejahteraan negara sebaliknya perlu menjadi benteng kepada usaha memecah-belahkan masyarakat.

“Kalau bukan anak muda yang menjadi ejen perpaduan ini, siapakah lagi yang kita ingin harapkan?

“Sebab itu, belia perlu faham dan memaknai sendiri erti perpaduan kerana ia adalah aset penting negara,” katanya.

Tegas beliau, belia yang mencetuskan perpecahan, menjadi batu api atau memainkan sentimen kaum dan agama tidak layak digelar sebagai belia berkualiti.

“Kita tidak mahu belia yang memporak-perandakan negara.

“Belia yang berkualiti mempunyai disiplin, prinsip dan pegangan yang jelas dan ini lah yang membezakan antara belia membina negara dengan mereka yang hanya bermain retorik murahan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button