Bekas menteri, Idris Jala disahkan hidap kanser paru-paru tahap tiga
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mengesahkan beliau menghidap kanser paru-paru tahap tiga selepas menjalani pemeriksaan dan biopsi susulan masalah kesihatan yang dialaminya sejak beberapa bulan lalu.
Idris, 67, berkata, diagnosis itu diperoleh selepas beliau mendapatkan rawatan perubatan berikutan batuk berpanjangan dan keletihan yang berterusan.
“Memang benar, saya kini disahkan menghidap kanser tahap 3C,” katanya dalam satu temu bual yang disiarkan menerusi saluran YouTube anaknya, Leon Jala bertajuk The Game of Impossible.
Menurut beliau, pemeriksaan awal menggunakan sinar-X di sebuah pusat perubatan mendapati terdapat ketidaknormalan pada paru-parunya sebelum doktor meneruskan siasatan lanjut melalui imbasan tomografi berkomputer (CT).
Hasil imbasan tersebut menemukan ketumbuhan pada paru-paru kiri yang dikatakan bersaiz hampir sebesar bola tenis.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menunjukkan kemungkinan jangkitan pada beberapa nodus limfa serta kewujudan ketumbuhan yang lebih kecil di bahagian kanan paru-paru, sekali gus mendorong doktor mencadangkan prosedur biopsi bagi mendapatkan diagnosis yang tepat.
Idris memaklumkan doktor tidak mengesyorkan pembedahan sebagai pilihan rawatan memandangkan tahap penyakit yang dihidapinya.
Sebaliknya, beliau berkemungkinan menjalani kombinasi rawatan termasuk kemoterapi, terapi sasaran, radioterapi dan imunoterapi.
Katanya, beberapa ujian lanjut seperti imbasan PET-CT, imbasan otak dan ujian darah akan dijalankan bagi mengenal pasti jenis kanser yang dihidapi, sama ada ia telah merebak ke bahagian lain badan serta menentukan pelan rawatan yang paling sesuai.
“Saya tahu ia akan menjadi perjalanan yang sangat sukar, tetapi saya bersedia untuk mengharunginya,” katanya.
Sehubungan itu, Idris mengumumkan akan berehat daripada komitmen awam dan aktiviti audio siar bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses rawatan dan pemulihan.
Idris pernah berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 2009 hingga 2015 dan dikenali sebagai individu yang menerajui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).
Beliau juga mencipta sejarah sebagai Orang Ulu pertama yang dilantik ke jawatan menteri di peringkat Persekutuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















