RENCANA

Hanya maaf, doa dan halalkan segalanya – Prof Kamil

DISAHKAN menghidap kanser paru-paru tahap empat, pendakwah dan penulis prolifik, Prof Dr. Muhd Kamil Ibrahim atau popular dengan gelaran MKI tetap redha dengan ujian Allah padanya.

Menerusi status di Facebooknya semalam, beliau memaklumkan perkara itu telah diberitahu secara berterus-terang oleh lima orang doktor pakar yang merawatnya di Hospital Al Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, Puncak Alam, Selangor.

Tangkap layar status yang ditulis Prof Kamil memaklumkan tentang keadaan terkini beliau.

“Ia bermula dari dalam paru-paru dan sudah merebak ke selaput luar. Tanpa berbuat apa-apa, jangka hayat kini berada dalam had beberapa minggu hingga beberapa bulan sahaja.

“Proses seterusnya hanya untuk mengawal dan bukan menyembuhkan. Namun ajal maut ketentuan Allah SWT. Kita redha sepenuhnya.

“Saya mohon maaf jika ada kesalahan dan kesilapan yang pernah saya lakukan. Doakan saya dipermudahkan. Halalkan atas segala urusan kita di dunia. Insya-Allah, bertemu di Firdaus,” tulis beliau.

Sehingga artikel ini ditulis, status tersebut telah mendapat 7,400 reaksi, 2,200 komen dan 365 perkongsian.

Meskipun teruji dengan masalah kesihatan yang serius, Prof Kamil tetap berusaha melayan mereka yang melawatnya dengan baik.

Rata-rata pengikut beliau meninggalkan komen dengan kata-kata semangat selain turut memohon kemaafan daripada beliau.

“Allahuakbar. Saya doakan Prof dan Kak Roza diberi kekuatan untuk menghadapi ujian ini dan sentiasa dalam rahmat Allah.

“Terima kasih kerana tidak putus-putus menitipkan pesanan yang baik-baik dan bermanfaat untuk kami.

“Semoga menjadi asbab syurga yang tertinggi. Maafkan salah dan silap saya juga,” tulis Farizah Shamsudin.

“Moga sakit jadi asbab terampun dosa-dosa dan dinaikkan darjat di sisi-Nya. Semoga Abe Long terus kuat semangat berdepan ujian ini. Ampun maaf daripada saya juga, ya. Tak tahu juga usia berbaki banyak mana ni,” komen Bonda Nor pula.

Sekeping gambar menunjukkan Prof Kamil solat berjemaah bersama seorang pesakit di dalam wad tersebut yang menjadi imamnya.

Sementara itu, seorang lagi follower merangkap anak didik beliau, Dr. Tiny Azleen Yahaya turut memuji kebaikan Prof Kamil.

“Dalam ujian kesakitan, tak lepas juga nasihat dan pesanan serta panduan pedoman yang tulus menyebarkan kebaikan dan contoh teladan yang mulus.

“Dr. tetap memberi nasihat beserta panduan bagaimana berhadapan dengan ujian melalui ujiannya sendiri. The man who walk the talk. Subhanallah.

“Dr. MKI yang dikasihi kerana Ilahi, mohon kemaafan dan halalkan segala ilmu dan bakti. Tiada salah Dr kepada kami melainkan banyak kebaikan menjadi bukti bakti yang bermanfaat, jariah yang berkat dan ketulusan perhubungan yang erat.

“Kepada Allah As Somad, kami tidak henti memohon dilimpahkan keafiatan kepada Dr, diberi keajaiban kesembuhan untuk terus beribadah dan menyebar kebaikan kepada ummah,” tulisnya.

Sebagai pendakwah, Prof Kamil seringkali mengajak khalayak supaya berdoa memohon memasuki Syurga Firdaus tanpa hisab.

Dilahirkan pada 19 Mei 1964 di Besut, Terengganu, Prof Kamil ialah seorang ahli akademik dalam bidang perakaunan dan salah seorang penulis prolifik di Malaysia.

Sentiasa aktif menulis buku-buku motivasi dan dakwah, Prof Kamil mula dikenali apabila buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman menjadi fenomena dan laris terjual.

Ia kisah bagaimana beliau berhijrah daripada manusia yang lalai dengan dunia menjadi hamba yang benar-benar berusaha mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya.

Prof Kamil dan isterinya, Raudzah yang setia menemani suami dalam apa jua situasi.

Dalam pada itu, isteri beliau, Raudzah Roslan juga dilihat tenang menerima berita tersebut.

“Itu yang tertulis. Hampir 60 tahun Allah telah kurniakan sihat dan nikmat. Ujian ini kecil sahaja. Insya-Allah. Tiada yang sia-sia disisi-Nya,” tulis ibu kepada empat cahaya mata itu di laman Facebooknya.

Masya-Allah. Begitulah hakikatnya apabila orang-orang beriman menerima ujian.

Moga kesabaran yang ditunjukkan meraih rahmat dan redha Tuhan dunia akhirat. Semoga ada keajaiban untuk Prof dikurniakan kesembuhan oleh Allah Yang Maha Penyembuh. Amin.

Pasukan di bawah kendalian Bonda Nor turut mengadakan majlis bacaan Yassin bagi mendoakan kesembuhan buat Prof Kamil malam ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button